Apakah keterangan Mad Radhi kepada team penyiasat? Siri 1

2006/10/15

Umum mengetahui bahawa Mad Radhi telah dipanggil oleh team penyiasat kes aduan salah laku beliau untuk mendapatkan keterangan dari diri beliau yang secara langsung untuk membela diri beliau sendiri. Ramai yang masih ternanti-nanti dan mengharap untuk dapat melihat dan mendengar sendiri keterangan yang diberikan oleh Mad Radhi. Namun ramai yang masih hampa kerana video keterangan Mad Radhi masih tidak dapat diperolehi hingga sekarang.

Mengikut pengetahuan umum, Mad Radhi telah memberi keterangan kepada team penyiasat persatuan yang diketuai oleh Tn Hj Yahaya Abdul Rahman pada jam 9.00 malam , 4 Julai 2006. Soal siasat yang dijalankan selama hampir dua jam adalah untuk mendapatkan keterangan Mad Radhi sendiri selaku tertuduh. Adalah perlu beliau hadir dan memberikan keterangan dan memaklumkan apa sebenarnya yang telah berlaku. Kerana beliau sendiri yang mengetahuinya dan beliau orang yang paling layak untuk menceritakannya.

Pak Kaduk telah berusaha sangat lama untuk mendapatkan butir-butir keterangan yang diberikan oleh Mad Radhi. Sebenarnya Pak Kaduk kecil hati juga sebab pihak-pihak yang berkaitan yang ada simpanan rakaman ini amat kedekut dan payah untuk ‘diajak berbincang’. Takkanlah tak boleh nak tengok langsung? Bukannya nak luak kalau dipertontonkan. Bukannya Pak Kaduk nak ambil terus salinan video tersebut. Pak Kaduk hanya nak tengok untuk memuaskan hati sendiri dan mendapatkan apa yang telah dicerita oleh Mad Radhi kepada team penyiasat. Penantian Pak Kaduk akhirnya sampai di penghujung juga. Melalui satu sesi penerangan khas, di Kuala Lumpur baru-baru ini, Pak Kaduk berpeluang menyaksikannya. Peluang ini tidak Pak Kaduk lepaskan kerana inilah yang Pak Kaduk tunggu selama ini. Sebelum pergi menghadiri sesi ‘tayangan perdana’ ini, Pak Kaduk telah bersiap sedia dengan ‘peralatan perang’ Pak Kaduk. Pak Kaduk telah merancang membuat siaran langsung dengan ‘stesen radio’ Pak Kaduk supaya butir-butir percakapan Mad Radhi dapat dirakam dan diulang siaran. Dalam kes ini, Pak Kaduk perlu minta maaf kepada pihak yang berkenaan kerana ‘mungkir janji’ dengan apa yang telah dipersetujui. Tetapi ini bab perjuangan, Pak Kaduk perlu hadapi risiko ini untuk mendapatkan maklumat yang benar. Bukankah Pak Kaduk ahli strategi? Tahulah apa Pak Kaduk nak buat….

Dalam hati Pak Kaduk berkata, bagus juga ada rakaman video ni, boleh juga tengok bagaimana Mantan Guru Utama memberi keterangan kepada anak murid beliau yang menganggotai team penyiasat. Pak Kaduk nak dengar sendiri apa yang Mad Radhi kata semasa memberi keterangan. Pak Kaduk nak bandingkan cerita lisan oleh Mad Radhi kepada Pak Kaduk dan kawan-kawan Pak Kaduk semasa Mad Radhi datang satu majlis pengijazahan untuk kelas Pak Kaduk tidak lama dulu. Masih teringat lagi apa yang dicakapkan oleh Mad Radhi pada malam tersebut. Mad Radhi memulakan perbualan dengan mengatakan:

‘Saya kena fitnah sekarang… Ini dugaan untuk saya sebagai guru. Nampaknya orang-orang lama nak jatuhkan Guru Utama sekarang ni….

Apa yang dicakapkan oleh Mad Radhi selepas itu biarlah untuk simpanan Pak Kaduk untuk sementara waktu. Yang Pak Kaduk nak dengar ialah apa pula keterangan Mad Radhi kepada team penyiasat. Sama atau tidak dengan cerita yang disebarkan kepada Pak Kaduk sebelum ini. Itu yang Pak Kaduk ingin tahu… Dalam hati Pak Kaduk juga berkata kalau keterangan yang diberikan sama, maka sahihlah Mad Radhi bercakap benar dan kes ini tidak perlu dipanjangkan lagi. Pak Kaduk pun tak perlu ke hulu ke hilir mendapatkan bahan berita…..

Sesi tayangan ini dibuat di satu lokasi khas dan kalau tak silap Pak Kaduk ada lebih kurang 30 orang yang telah menghadiri sesi tayangan perdana ini dan boleh dikatakan semuanya Pak Kaduk kenal kecuali seorang-dua yang nampak macam muka budak-budak baru yang Pak Kaduk tidak biasa lihat.

Sebelum tayangan dimulakan, semua hadirin diminta tidak merakamkan apa yang ditayangkan (maklumlah semuanya dah ada telefon bimbit canggih, faham-faham sajalah!). Tayangan tersebut adalah hanya untuk semua yang hadir sahaja dan bukan untuk dihebahkan. Semuanya faham akan arahan tersebut, tetapi Pak Kaduk tak pasti berapa ramai yang akur. Salah seorangnya sudah pasti Pak Kaduk….

Video yang dirakam secara ‘still’ (ada satu camera saja nampaknya) memberi fokus kepada Mad Radhi sahaja. Tidak ada gambar penyiasat yang dirakamkan kecuali suara mereka apabila menanyakan soalan kepada Mad Radhi. Tetapi nak jadi cerita, mungkin kedudukan kamera yang diambil dari sudut yang agak serong, maka ada dalam rakaman tersebut kelihatan juga Mokhtaruddin Hj Hanafi (abang Mad Radhi) yang menganggotai team penyiasat yang duduk dihujung meja. Jadi sepanjang sesi soal siasat itu, Pak Kaduk dapat lihat Mad Radhi menjawab soalan apabila ditanya oleh team penyiasat dan juga riaksi spontan Mokhtaruddin terhadap jawapan oleh Mad Radhi itu.

Sambung siri 2

Read more...