BANI HANAFI YANG PUPUS

2006/12/10

Cerita tentang kaum-kaum yang pupus ini menarik minat Pak Kaduk untuk terus menulis tentang hal-hal berkaitan tentang Mad Radhi dan juga seluruh kaum keluarga Ustaz Hanafi yang masih berperasaan bahawa merekalah kaum yang terpilih dan terbaik di kalangan anak-anak murid Ustaz Hanafi yang ada. Oleh kerana perasaan bangga yang tidak bersebab ini, menjadikan ‘Bani’ Hanafi ini lupa diri dan angkuh. Mereka juga sangat dahagakan sanjungan dan pujian serta kata-kata manis yang menyenangkan hati mereka. Mereka tidak kira apakah nilai yang dipertaruhkan asalkan mereka disanjung dan di puji melangit. Mereka juga bebas dan berkuasa untuk mengeji orang lain jika orang itu tidak sehaluan dengan mereka. Kononnya juga mereka beranggapan mereka mempunyai kuasa untuk menentukan siapakah yang layak untuk dipilih menjadi guru. Begitulah begitu perasannya Bani Hanafi ini.

Semasa Ishak Itam memegang tampuk singgahsana, Bani Hanafi ini telah merasa sangat ‘diketepikan’ dan disisih dari arus perdana. Mereka sangat iri hati melihat Ishak Itam diangkat menjadi guru dan mendapat sanjungan yang melangit walaupun pada mulanya merekalah yang memberi persetujuan atas perlantikan tersebut. Mereka juga menghadapi masalah dari segala segi baik reputasi mahupun ‘money’. Sejarah kepahitan hidup yang dilalui pada zaman tersebut oleh Bani Hanafi tidak harus diulang pada pandangan mereka. Sebab itulah, dimasa Ishak Itam memerintah, Bani Hanafi inilah yang sebenarnya menjaja segala kekurangan Ishak Itam dan mengutuk teruk beliau yang kononnya Ishak itam tidak layak menjadi guru. Beliau tidak patut menerima pengiktirafan tinggi sepertimana yang diterima oleh Ishak Itam pada masa itu. Pada mereka, kalau dibandingkan Ishak Itam dengan Ustaz Hanafi diibarat langit dan bumi. Bani Hanafi ini jugalah yang melobi dan mengangkat dan mencanangkan kononnya Pak Ak hanya ada ‘mangga’ sahaja, tetapi Mad Radhi yang ada ‘anak kunci’nya. Kononnya Pak Ak hanya ada ‘kulit’ sahaja dan Mad Radhi yang ada ‘isi’nya. Oleh itu kata Bani Hanafi ini, walaupun Pak Ak menjadi guru, tetapi yang menjalankan tugas-tugas bab ‘isi’ ini adalah Mad Radhi. Sampai begitu sekali Bani Hanafi ini memainkan peranan halus mereka untuk menjatuhkan kewibawaan dan ketokohan Pak Ak. Juga dicanangkan pada masa tersebut bahawa Pak Ak hanya pemangku, nanti bila sampai masa, mesti diserahkan balik kepada Bani Hanafi. Siapakah yang mencanang dan mengeluarkan kata-kata tersebut kalau bukan Bani Hanafi sendiri! (Pak Kaduk dapat berita Pak Ak tahun ini mengerjakan Haji bersama Mak Tam. Selamat pergi dan selamat kembali dan semoga mendapat haji yang mabrur ).

Semasa peristiwa hitam yang berlaku pada tahun 1993, telah direkodkan bahawa walaupun belum sampai masa untuk menjadi guru, Mad Radhi sudah dengan gelojoh pergi memanjat pagar rumah Pak Ak, masuk ke dalam rumah dan membawa Pak Ak ke rumah Al-Marhum Ustaz Hanafi serta memaksa Pak Ak serahkan tugas menjadi guru kepada Mad Radhi. Jadi bila kita dimaklumkan bahawa Mad Radhi telah pergi ke rumah anak murid beliau dan mencabul anak dara kepada murid sendiri, adakah perkara ini pelik atau janggal? Sebenarnya sejarah telah memberitahu kita bahawa Mad Radhi berkemampuan melakukan lebih dari tu. Peristiwa memanjat pagar itu membuktikan begitu kemaruknya Bani Hanafi ini. Masalahnya, pada masa tersebut tidak ada orang ataupun amat sedikit sangat individu yang ‘membuat siasatan’ tentang komen-komen dan kata-kata yang dikeluarkan oleh Bani Hanafi ini. Kononnya, oleh kerana kata-kata tersebut keluar dari mulut anggota-anggota Bani Hanafi, maka semuanya adalah betul dan tidak perlu dipersoalkan. Kononnya perkara penyerahan mandat tersebut berlaku antara empat mata sahaja iaitu antara Mad Radhi dan Pak Ak. Pak Ak sampai hari ini tidak mengaku menyerahkan tugas guru tersebut kepada Mad Radhi. Kita harus bertanya, betulkah telah berlaku penyerahan tugas seperti mana yang dicanangkan oleh Mad Radhi. Ini satu persoalan yang amat besar implikasinya. Itulah kesilapan awal oleh panglima-panglima Ustaz Hanafi pada waktu itu kerana tidak begitu teliti dalam soal pemilihan guru dan kuasa melantik guru. Namun begitu tidaklah boleh diletakkan keseluruhan kesilapan tersebut kepada panglima-panglima pada waktu itu. Ini kerana mungkin atas dasar berbaik sangka dan sebagai menghargai peranan serta jasa Al-Marhum Ustaz Hanafi maka Bani Hanafi ini turut dijemput untuk turut serta di dalam proses membuat keputusan berkaitan perlantikan guru Silat Cekak. Tetapi dengan cara menjemput Bani Hanafi ini terlibat dalam proses membuat keputusan, telah menjadikan mereka ‘perasan’ bahawa mereka berkuasa. Begitulah apa yang telah terjadi apabila Mak Teh dengan angkuh dan sombongnya membuat gesaan dalam mesyuarat MMT supaya orang-orang yang tidak mahu menerima Mad Radhi sebagai guru supaya keluar dan meninggalkan persatuan. Keangkuhan itu timbul dari sifat ego dan perasaan yang kononnya Bani Hanafi ini berkuasa membuat keputusan!. Kita juga sebenarnya hairan kenapa Bani Hanafi ini diberi peluang untuk terlibat dalam membuat keputusan tersebut. Siapa yang beri kuasa kepada mereka? Apa hak mereka? Adakah kerana mereka ini kaum keluarga Ustaz Hanafi maka mereka ada kuasa? Benarkah begitu? Rasanya bukan itu caranya.

Sebagai seorang pengamal silat cekak dan sebagai seorang ahli persatuan ini, kita PERLU TAHU bagaimanakah proses perlantikan guru SELEPAS ERA Ustaz Hanafi dilakukan. Kalau dikaji di awal perkembangan silat ini, mengikut apa yang disampaikan dari mulut ke mulut, proses penyerahan mandat berlaku di antara guru yang ada kepada bakal guru. Ini bermakna kedua-dua guru dan bakal guru itu masih hidup. Oleh itu salasilah yang diketahui bermula dari Panglima Ismail, diserahkan kepada Panglima Tok Rashid dan kemudian kepada Pak Yahaya Said dan sambungkan kepada Ustaz Hanafi. Kesemua proses penyerahan tugas guru itu berlaku di ANTARA INSAN YANG MASIH HIDUP! Bagaimanakah pula proses perlantikan guru selepas Ustaz Hanafi? Ustaz Hanafi meninggal dunia sebelum sempat menamakan atau melantik guru baru. Oleh itu proses penyerahan mandat TIDAK BERLAKU seperti mana proses biasa perlantikan guru sebelum era Ustaz Hanafi. Oleh itu, kita perlu bertanya satu soalan yang SANGAT ASAS tetapi SANGAT PENTING. Adakah Ustaz Hanafi yang melantik Ishak Itam untuk menggantikan beliau? Jawapannya ialah Ustaz Hanafi tidak pernah melantik sesiapapun atau menamakan Ishak Itam sebagai pengganti beliau. TIDAK SAMA SEKALI. Jadi, siapakah yang melantik Ishak Itam sebagai guru? Yang melantik Ishak Itam sebagai guru adalah satu kesepakatan ahli-ahli lama yang terdiri dari anak murid Ustaz Hanafi sendiri dinamakan Majlis Permufakatan Silat Cekak. Permuafakatan ini tidak wujud secara sah kerana tidak ada peruntukan di dalam perlembagaan persatuan pada masa itu tentang permuafakatan ini, tetapi diwujudkan secara ‘bayangan’ demi untuk memastikan perjuangan Ustaz Hanafi dapat diteruskan. Soalan yang SANGAT ASAS kedua yang perlu kita tanya ialah siapakah yang mempunyai mandat untuk melantik guru selepas era Ustaz Hanafi? Adakah guru semasa yang sedang bertugas mempunyai mandat tersebut ataupun siapa? Biar Pak Kaduk jawab soalan penting ini di artikel yang akan datang…

Read more...