Apakah keterangan Mad Radhi kepada team penyiasat? Siri 2

2006/10/16

Sesi soal siasat

Nampak jelas bahawa Mad Radhi tidak begitu selesa, senyum pun sumbang, apa yang dibuat nampak tak kena. Ianyalah, Pak Kaduk pun faham, dalam keadaan begitu siapa yang akan merasa selesa. Kalau Pak Kaduk sendiripun, Pak Kaduk tidak akan merasa selesa. Pak Kaduk pun terkedu juga. Pak Kaduk faham sebagai manusia biasa, perasaan sebegitu tidak dapat dihindarkan. Begitulah juga hal dengan Mad Radhi. Beliau adalah manusia biasa. Beliau juga mempunyai hati dan perasaan. Beliau juga ada maruah untuk dipertahankan. Beliau juga ada keluarga untuk diselamatkan. Beliau juga ada adik-beradik untuk di beri penjelasan. Yang lebih penting beliau perlu menyelamatkan dan mempertahankan nama ayahanda beliau Al-Marhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad. Sebab itu, tugas beliau amat berat pada malam itu. Kelihatan juga Mad Radhi membelek-belek kertas nota yang dibawa bersama beliau untuk membantu beliau menjawab soalan. Bagus juga Mad Radhi ini. Beliau membuat persiapan juga untuk mengadap jawatankuasa penyiasat ini.

Mad Radhi hadir dengan memakai baju kemeja berkotak agak gelap berlengan pendek. Rambut beliau agak pendek, mungkin baru digunting sebelumnya sebagai persiapan untuk mengadap jawatankuasa penyiasat. Bila dah rambut begitu, nampak juga telinga beliau yang agak besar dan kepala kecil (sebab rambut pendek). Kelihatannya lucu juga, tetapi masih dikira okey pada pandangan Pak Kaduk. Tidaklah nampak beliau bergaya sangat seperti kebiasaannya kalau dilihat di majlis-majlis persatuan. Walaubagaimanapun, bolehlah ‘diterima’ untuk satu sesi soal-siasat pada malam tersebut.

Sedih juga Pak Kaduk melihat seorang Guru Utama terpaksa hadir dan mengadap team penyiasat yang terdiri dari ahli jawatankuasa pusat yang sebahagiannya anak murid beliau sendiri. Tetapi bila di kaji dengan teliti, sebenarnya kesemua ahli team penyiasat bukannya anak murid beliau secara terus. Tuan Haji Yahaya, Mohktaruddin, Azhar Ali dan Roslan Rashid belajar di zaman Ustaz Hanafi, manakala Md Daud dan Tengku Azlina belajar di zaman Ishak Itam. Namun oleh kerana beliau adalah guru semasa Silat Cekak Hanafi, maka secara tidak langsung ada hubungan antara guru dan murid. Perasaan sedih tidak dapat dielak, sebak juga Pak Kaduk melihat beliau. Perasan itu meresap ke dalam sanubari Pak Kaduk melihat Mad Radhi terpaksa berhadapan dengan orang-orang yang beliau kenal. Iaitu ahli-ahli di bawah naungan beliau selama ini tetapi kali ini dalam keadaan yang amat berbeza. Malam ini adalah malam ’survival’ Mad Radhi. Beliau perlu menjawab soalan-soalan yang akan ditanya dan perlu mempertahankan diri beliau. Di waktu tersebut, tidak ada lagi juak-juak di sekeliling beliau untuk membantu. Juga tidak ada lagi pembantu peribadi untuk menjawab bagi pihak beliau. Sekarang beliau keseorangan untuk mempertahankan diri. Taraf Mad Radhi pada ketika disoal siasat bukannya taraf guru lagi tetapi bertaraf tertuduh yang hadir memberikan keterangan. Dunia sudah terbalik. Guru kena soal siasat dengan anak murid!.

Berkata juga dalam hati Pak Kaduk, kenapalah Mad Radhi hadir dan mengadap team penyiasat ni. Beliau sebenarnya tak perlu hadir. Tak perlu jawab soalan-soalan yang akhirnya akan mencemar nama beliau. Takkan penasihat-penasihat Mad Radhi tidak tahu perkara ini. Mereka sepatutnya lebih arif dan menasihatkan Mad Radhi supaya jangan hadir. Tetapi kalau difikirkan balik, siapa yang nak menasihatkan beliau? Selama ini pun siapa yang menasihatkan beliau? Juak-juak beliau bukanlah penasihat, tetapi hanya pak turut. Hanya menurut kemahuan dan kehendak Mad Radhi sahaja. Nak bagi nasihat takut nanti guru murka. Kalau guru murka, payah jadinya nanti…..

Jelas juga kelihatan Mokhtaruddin menelengkupkan muka ke atas meja sebelum soal siasat dimulakan. Mungkin beliau juga agak tertekan melihat adik beliau hadir untuk disoal siasat. Kemudiannya kelihatan beliau menongkat muka dengan tangan kiri seperti orang hendak tidur lagaknya. Mad Radhi nampak agak tenang walaupun sesekali nampak agak ketara yang beliau tidak selesa. Adalah jelas bahawa Mad Radhi langsung tidak memandang ke arah Mokhtaruddin. Apa sebabnya? Pak Kaduk pun tak tahu. Mungkin Mad Radhi marah sangat kepada Mokhtaruddin yang menganggotai jawatankuasa penyiasat ataupun Mad Radhi ’segan’ kepada abang beliau itu.

Sesi soal jawab dimulakan oleh Md Daud selaku setiausaha penyiasat yang mengucapkan terima kasih kepada Mad Radhi yang telah hadir untuk memberikan keterangan dan Mohd Daud juga memperkenalkan ahli-ahli team penyiasat yang dilantik oleh MMK kepada Mad Radhi. Kemudian di ambil alih oleh Tn Hj Yahaya selaku pengerusi dengan memaklumkan kepada Mad Radhi tuduhan yang dibuat dan kes-kes yang disiasat oleh team penyiasat. Beliau menerangkan bahawa team penyiasat telah dilantik oleh MMK berhubung surat aduan salah laku Azman Johan. Akibat aduan yang dibuat oleh beliau, MMK telah menubuhkan jawatankuasa ini dan jawatankuasa telah mengambil keterangan daripada orang-orang yang terlibat. Daripada banyak aduan yang dibuat, jawatankuasa berpendapat hanya dua sahajalah kes yang patut disiasat iaitu yang pertamanya dakwaan Tidak Amanah berkenaan sumbangan Encik Jalil bin Hashim untuk persatuan semasa perayaan 2001. Keduanya ialah berkenaan aduan Mencabul Kehormatan. Siasatan dan keterangan telah diambil dari Azman Johan , Encik Asnawi, isteri beliau dan anak mereka melalui akuan bersumpah dan anak mereka juga telah hadir untuk mengesahkan surat akuan bersumpah tersebut. Akibat dari siasatan yang dibuat, telah didapati ada dua lagi kes mencabul kehormatan lain yang telah ditimbulkan. Seorang adalah anak kepada ahli yang lain dan seorang lagi adalah isteri kepada ahli persatuan. Oleh itu pada malam ini keterangan dari Mad Radhi pula yang ingin direkodkan oleh jawatankuasa penyiasat…. Begitulah lebih kurangnya penerangan yang diberikan oleh Tn Hj Yahaya .

Mad Radhi menumpukan sepenuh perhatian dan sesekali menganggokkan kepala tanda faham sepanjang penerangan yang diberikan oleh Tn Hj Yahaya. Selepas selesai penerangan diberikan, beliau nampak agak kekok dan tak tahu apa pula yang perlu beliau buat. Nampak seperti teragak-agak sehinggalah Tn Hj Yahaya dan Mokhtaruddin meminta membacakan lafaz sumpah yang tertulis pada sekeping kertas di hadapan beliau sebelum beliau memberikan keterangan. Beliau lalu membacakan lafaz sumpah tersebut yang berbunyi seperti berikut:

‘Bismillah hirrahmannirrahim, bahawasanya saya Mad Radhi bin Hj Hanafi dengan ini bersumpah dengan nama Allah, dengan nama Wallahhi, Wabillahhi, Wata’alahi bahawa segala keterangan yang akan saya berikan adalah benar, tidak ada yang tidak benar melainkan yang benar belaka. Jika sekiranya saya berbohong akan dilaknatkan Allah ta’ala ke atas saya’

Untuk berlaku adil kepada semua pihak terutamanya kepada Mad Radhi, Pak Kaduk berpandangan elok rasanya Pak Kaduk mencatatkan text sebenarnya apa yang telah dikatakan oleh Mad Radhi semasa memberi keterangan bagi kes mencabul kehormatan yang pertama. Berikut adalah keterangan oleh Mad Radhi sendiri tanpa diedit (versi pertama keterangan beliau):

”Terlebih dahulu saya terima kasihlah kerana….. Yang pertama saya pergi rumah Mak Teh lepas tu saya tengok… saya fikir tak palah saya cadang nak pergi beli goreng pisang lah ye kat rumah Mak Teh. Jadi selepas tu saya pergi beli goreng pisang tu di belakang rumah che Asnawi dan juga che Amrahi. Bila saya sampai, jadi saya sampai saya tengok saya nak beli kakak tu kata ramailah dia kata kena tunggu dulu. Lepas tu memang saya ada talipon rumah che Asnawi. Saya cadang saya beli rumah Mak Teh RM2.00, saya dan rumah Asnawi lah dalam RM2.00. Bila kata lama sikit lah pasal ramai orang kan, jadi saya lepas itu saya pergi rumah che Asnawi lah . Bila sampai, saya tengok ada satu…. tiga orang budak di depan pagar dan pagar terbuka lepas tu grill terbuka tapi sikit, pintu kayu terbuka. Dan saya memberi salam lah, saya bagi memberi salam . Lepas saya bagi salam, xxx panggil saya masuk. Dia panggil saya masuk… saya kata tak palah kot. Tak palah, masuklah dulu Pak Tam dia kata. Masuklah. Jadi saya kata tak pa lah , dia kata masuklah dulu. Saya masuk . Bila saya masuk, saya duduk borak dengan dia, dia duduk di bawah, saya duduk kat atas sofa dan sembang-sembang. Lepas tu dia bagi tau saya ….. sembang-sembang saya tanya macam mana dia punya keadaan pelajaran dan sebagainya . Lepas tu dia mintak saya tolong untuk di punya picit sini (sambil menunjuk ke belakang kepala sebelah kanan beliau dengan tangan kanan beliau). Saya tolong lah. Itu sahaja … Bila saya begitu, lepas tu saya tolong macam biasa saya picit lepas tu dia nak buat air. Saya kata tak payah saya kata. Saya minta air suam saja. Saya minta air suam, dan dia bawa air suam , saya minum air suam. Jadi….saya ingat itulah . Lepas tu saya rasa saya balik. Itu sahaja saya ingat.”

Bersambung siri 3

Read more...