2006/12/01

Hari ini Pak Kaduk teruja dengan satu artikal yang di siarkan di blog bigbodyguy, bertepatan dengan keadaan semasa dan ada perkara perkara yang didalam lipatan sejarah yang dilupakan atau diketepikan, besesuaian dengan keadaan masa kini maka Pak Kaduk copy dan 'paste'kan di blog Pak Kaduk untuk di baca oleh pengunjung pengunjung blog Pak Kaduk dengan izin, selamat membaca.


Dalam lipatan sejarah Silat Cekak

Assalamu’alaikum ahli-ahli Silat Cekak sekelian.

Alhamdullilah, bersyukur kita kepada Allah swt kerana masih lagi berpeluang untuk menikmati segala pemberianNya di alam semesta ini.

Selawat serta salam buat Rasullulah SAW yang sangat dikasihi.

Kelihatan ahli-ahli Silat Cekak masih lagi terpinga-pinga dalam menghadapi situasi malang yang menimpa Silat Cekak sekarang ini.

Mana satu nak pilih? Di satu pihak adalah Md Radzi Hanafi, satu-satunya anak Ustaz Hanafi yang dikatakan boleh memimpin Silat Cekak. Di satu pihak lagi adalah para pendukung Silat Cekak serta MMK yang jasa mereka begitu banyak dalam Silat Cekak.

Kelihatan sentimen keluarga Ustaz Hanafi digunakan oleh Md Radzi Hanafi untuk meraih simpati dan sokongan. Ini termasuk Mak Teh dan abang-abang serta adik-adik beliau. Dikuatkan dengan sokongan kakak-kakak ipar dan adik-adik ipar serta anak-anak saudara, jauh dan dekat. Dicanangkan di seluruh negara bahawa para pendukung telah memfitnah beliau dengan tujuan untuk menjatuhkan beliau sebagai guru utama dan presiden. Imej anak kepada Ustaz Hanafi dan keluarga Ustaz Hanafi menjadi senjata utama untuk mencari pengaruh.

Siapa yang tidak mahu terima dan menyokong Md Radzi Hanafi diusir keluar daripada persatuan! Benarlah ada pendapat yang mengatakan bahawa Md Radzi Hanafi ingat , Silat Cekak ini adalah silat bapanya dan dia boleh buat sesuka hatinya!

Maka terpinga-pinga ahli-ahli Silat Cekak… nak ikut atau tidak mahu ikut? Siapa yang menjadi tenaga pengajar lebih-lebih lagilah peningnya!

Jika tidak mahu sokong Md Radzi Hanafi, nak sokong siapa? Walaupun MMK telah buat keputusan membalikkan isu guru utama kepada MMT, masih tidak kelihatan tindakan-tindakan susulan yang diambil oleh MMK mengenai guru utama yang baru.

Bagi mereka yang mengendalikan kelas, sewajarnya mereka ingin tahu bagaimana caranya untuk meneruskan kelas silat dipelbagai peringkat – asas, jatuh, potong dan tamat.

Sebenarnya perkara ini tidak sukar untuk dilakukan kerana selagi kita berada di bawah persatuan, maka arahan-arahan daripada MMK wajar dipatuhi. Maka ikut sajalah arahan-arahan itu!

Tentu MMK telah memikirkan cara yang terbaik untuk menangani fasa peralihan ini!

Rata-rata ahli-ahli ingin tahu, siapakah yang akan menggantikan Md Radzi Hanafi sebagai guru utama Silat Cekak? Kuasa siapa sebenarnya untuk melantik guru utama? Salahsilah perguruan bagaimana pula? Perlu anak jati Kedah lagi kah?

Perkara-perkara inilah yang bermain difikiran ahli-ahli Silat Cekak!

Md Radzi Hanafi pula ada mengatakan bahawa hanya dia dan Allah swt sahaja yang berhak melantik penggantinya. Bolehkah kita terima kefahaman ini? Atau dalam aspek apa perkara ini boleh diterima dan dalam aspek mana pula ia tidak boleh diterima?

Jawapannya berada didalam lipatan sejarah Silat Cekak terdahulu.

Apakah rupa bentuk Silat Cekak semasa zaman Pak Ya ? Apakah ia hebat ? Apakah ia mempunyai visi ? Jawapannya semuanya kita tahu bahawa beliau hanya sebagai pemegang amanah dan silat ini hampir-hampir mati ditelan zaman.

Bila Ustaz Hanafi mengambil mandat sebagai guru Silat Cekak, kita diberitahu bahawa Pak Ya juga ada memberikan kuasa ijazah kepada beberapa orang termasuk Abdul Rahman Mahadi. Dengan kata lain, Silat Cekak mempunyai lebih daripada satu guru. Atas peranan Ustaz Hanafi, mereka-mereka yang terlibat ini tidak pun menjalankan tugas sebagai guru Silat Cekak.

Sejarah juga merakamkan bahawa wujudnya perjanjian lisan antara Ustaz Hanafi dengan Pak Ya iaitu masing-masing tidak boleh mengambil anak murid masing-masing. Perjanjian ini mengesahkan bahawa pada ketika itu memang wujud lebih daripada satu guru. Dan sejarah juga merakam peristiwa di mana wujudnya Silat Kalimah yang melibatkan Pak Ya dan anak murid-anak murid Ustaz Hanafi iaitu Azmi Long dan Redzuan Long.

Dan kita dapat lihat bagaimana perkembangan mereka dari dulu hingga sekarang !

Sejarah juga merakamkan bahawa Ustaz Hanafi tidak menamakan penggantinya ! Tanpa saksi mahupun keterangan, keluarga Ustaz Hanafi telah mengesyorkan Ishak Itam sebagai calon guru utama yang akhirnya diisytiharkan oleh para pendukung Silat Cekak sebagai penjawat jawatan guru utama menggantikan Ustaz Hanafi.

Nah.. apa yang terjadi. Ishak Itam tidak mampu menggalas jawatan ini kerana jawatan ini terlalu berat untuk dipikulnya. Mungkin sebab cetek ilmu dan pengalaman memimpin sebuah pergerakan yang besar. Akhirnya beliau melencong dan tersasar daripada dasar-dasar perjuangan Ustaz Hanafi dalam Silat Cekak. Beliau lupa diri !

Walau pun mandat telah diserahkan kepada Md Radzi Hanafi, Ishak Itam masih menjalankan tugas sebagai guru utama. Pada kaca mata masyarakat, mereka boleh menerima keadaan ini sebab ia berlaku di mana-mana pertubuhan silat lain termasuk silat gayung. Ada gayung itu ! Ada gayung ini !

Persoalannya Silat Cekak telah berpecah menjadi dua akibat wujudnya guru utama yang menyanggar salahsilah! Ishak Itam masih lagi hidup dan masih lagi menjalankan tugas itu walaupun kewibawaannya tercalar. Ya ..lah ada pengikut yang mahukan dia!

Begitu juga dalam zaman Md Radzi Hanafi. Selama 13 tahun, atas kerja kuat barisan semua pihak khususnya para pendukung Silat Cekak dan MMK, martabat Silat Cekak telah dijulang ke satu tahap yang sangat tinggi – cemerlang! gemilang! Pencapaiannya jauh lebih baik daripada pesaing-pesaingnya!

Tup…tup!... kita dikejutkan dengan satu lagi tamparan hebat seumpama tsunami yang melanda pantai!!!

Md Radzi Hanafi telah melakukan satu kesilapan yang sangat besar dan menggegarkan pergerakan Silat Cekak.

Apa nak buat sekarang?

MMK dah tolak! Tenaga pengajar bagaimana? Ahli-ahli bagaimana?

Timbul persoalan besar, siapa yang boleh jadi guru utama sekarang?

Jawapannya berbalik kepada apa yang telah berlaku dalam lipatan sejarah tadi.

Apakah hebatnya Ustaz Hanafi berbanding Pak Ya atau mereka yang menerima kuasa untuk mengijazahkan silat? Kita juga harus bertanya apakah yang benar-benar dimaksudkan dengan upacara ijazah itu? Tugas guru utama dalam Silat Cekak itu apa?

Jelaslah kepada kita bahawa kehebatan itu terletak kepada kehebatan individu yang memimpin. Itu sebab kehebatan Ustaz Hanafi tidak boleh dipertikaikan. Cekak itu Hanafi dan Hanafi itu Cekak. Itulah sinonimnya!

Apakah Ishak Itam dan Md Radzi Hanafi sehebat Ustaz Hanafi? Jawapannya tidak. Jauh panggang dari api!


Ikut MMK, insyaallah selamat!
kepada rakan rakan yang masih bermimpi, kembalilah kepada perjuangan asal kita, jika masih tidak paham perjuangan Silat Cekak sila rujuk pantun kelapan Silat Cekak karya Almarhum Ustaz Hanafi, buat 'home work' sedikit jangan nak harap maklumat datang depan mata sahaja.

Read more...