BIODATA YM ENCIK MARWI LATIF, GURU UTAMA SILAT CEKAK HANAFI

2007/04/06

Encik Marwi bin Latif merupakan seorang tokoh lama yang disegani dalam Silat Cekak. Beliau dilahir pada tarikh yang sama dengan kelahiran Silat Cekak, cuma berbeza tahun iaitu pada 28 Disember 1946 di Kampung Baru Kuala Lumpur. Anak jati Kuala Lumpur ini merupakan anak keempat dari 12 orang adik beradik ini mendapat pendidikan di Sekolah Inggeris Jalan Cochrane, Kuala Lumpur sekitar awal tahun 1960an.

Beliau mula belajar Silat Cekak 35 tahun yang lalu setelah diijazahkan oleh Al-Marhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad pada tahun 1972. Beliau mempunyai noltalgia yang istimewa dengan Al-Marhum Ustaz Hanafi apabila mengenali terlebih dahulu dengan Ustaz hanafi sebelum mempelajari Silat Cekak. Beliau diijazahkan oleh Ustaz Hanafi di rumah beliau di Kg Pandan. Beliau hanya diijazahkan seorang diri dan kemudian menyertai kelas latihan silat yang telah terlebih dahulu belajar iaitu kelas yang mana Amruddin Buang turut sama belajar. Beliau kemudiannya menamatkan latihan silat di kelas latihan Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada tahun yang sama.

Setahun selepas menamatkan pelajaran silat iaitu pada tahun 1973, beliau telah dilantik menjadi tenaga pengajar bagi kelas latihan di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang mana kedua-duanya terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada waktu itu. Kelas lain yang beliau turut ajar adalah kelas Universiti Teknologi Malaysia Jalan Gurney, Kuala Lumpur dan di ITM , Jln Othman Petaling Jaya.
Berdasarkan pengalaman beliau, sewaktu mengajar di Universiti Malaya , beliau pernah diuji oleh seorang penuntut cekak yang sebelumnya pernah mempelajari Silat Gayung iaitu sdra Rauhi Isa. Sdra Rauhi dapat ditewaskan oleh beliau .

Tahun 1976 merupakan bermula era beliau bergerak di negeri Pahang. Beliau berhijrah dari Kuala Lumpur ke Kuantan Pahang atas permintaan Ustaz Hanafi bagi meneruskan perkembangan Silat Cekak di sana. Penghijrahan beliau disebabkan berlaku kekosongan apabila saudara Malino Junsi yang sebelum itu bertugas di Kuantan telah meninggal dunia. Oleh itu, semenjak tahun 1976 hingga sekarang, beliau menjadi wakil rasmi persatuan bagi mengembangkan Silat Cekak di bumi Pahang.

Di negeri Pahang juga beliau bertemu jodoh dengan Puan Jumilah Bt Omar. Hasil perkongsian hidup tersebut, beliau dikurniakan 4 orang cahaya mata, 2 lelaki dan 2 perempuan. Anak beliau yang sulong sekarang ini berusia 19 tahun manakala yang bongsu berusia 8 tahun.

Tempoh selama 31 tahun menyumbang bakti di bumi Pahang, telah menjadikan beliau seolah-olah seperti anak jati negeri Pahang. Oleh itu tidak hairanlah apabila nama beliau menjadi amat sinonim dengan Silat Cekak negeri Pahang dan di kalangan rakan senibela diri yang lain di negeri itu. Atas ketokohan dan pengalaman beliau juga, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Seni Beladiri Pahang yang bernaung di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang sejak tahun 2005. Dan sebagai menghargai sumbangan yang berterusan terhadap kemajuan Seni Bela Diri di negeri Pahang, beliau telah dianugerahkan Anugerah Tertinggi Majlis Seni Beladiri Pahang iaitu Anugerah Penggerak pada bulan April 2006.

Sepanjang penglibatan beliau dengan Silat Cekak, beliau juga pernah mewakili Malaysia dalam acara Silat pada temasya Sukan SEA (SEA Games) ke-10 di Jakarta, Indonesia pada tahun 1979.

Apabila Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia ditubuhkan pada tahun 1994, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Muafakat Tertinggi (MMT) dan Ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT) persatuan ini. Di peringkat negeri, beliau memegang jawatan Yang DiPertua Negeri Pahang dan juga Penyelia Persilatan bagi negeri Pahang sejak 1994 hingga 2005.

Beliau telah berkhidmat selama lebih 35 tahun dengan Silat Cekak dan merupakan Jurulatih Sepenuh Masa (SSM) persatuan ini selama lebih 30 tahun sehinggalah dinamakan sebagai Guru Utama pada 18 Mac 2007 oleh Majlis Muafakat Tertinggi Silat Cekak Hanafi.
Pak Kaduk2- Salam perkenalan.

Read more...