ANUGERAH GURU UTAMA 2007???

2007/02/26

Kita semua tahu bahawa Anugerah Guru Utama telah diperkenalkan pada tahun tahun 2002 kalau tak Silap Pak Kaduk. Pada tahun tersebut, Encik Marwi Latif @ Abang Jo Kuantan telah menerima anugerah tersebut. Manakala tahun-tahun berikutnya, penerima anugerah tersebut adalah Puan Maimunah Othman @ Mak Teh @ ibu Guru Utama pada 2003, Mokhtaruddin Hj Hanafi @ Abang Tat @ Anak Mak Teh @ Abang Guru Utama pada tahun 2004 diikuti oleh Encik Mohd Lazim bin Ibrahim @ Abang Lazim Kedah pada 2005 dan yang terakhir sekali adalah Encik Zainul Abidin Hj Hanafi @ Anak Mak Teh @ Abang Yang @ Joker Of The Year @ Abang Guru Utama yang menerima anugerah tersebut pada tahun lalu iaitu 2006. Semua kita juga tahu bahawa anugerah tersebut di sampaikan pada setiap kali Majlis Sambutan Tenaga Pengajar Silat Cekak Hanafi yang diadakan pada setiap tahun.

Siapakah yang membuat pencalonan bagi anugerah Guru Utama ini?

Mengikut pada pengetahuan Pak Kaduk, tiada pencalonan yang dibuat. Anugerah ini dikatakan terlalu istimewa hinggakan tidak ada orang lain yang boleh mencalon atau memilih calon kecuali Guru Utama sendiri. Selain dari Guru Utama, tiada sesiapapun yang boleh membuat cadangan atau mencalonkan diri. Bolehlah dikatakan kuasa mutlak pemilihan terletak kepada kuasa yang ada pada Guru Utama.

Apakah kriteria utama pemilihan?

Pada pengetahuan Pak Kaduk, kononnya seseorang itu mestilah orang yang telah lama berkhidmat , memberi sumbangan dan berkorban untuk persatuan (berapa lama? Tak tau pulak Pak Kaduk). Lain-lain kriteria ada juga, tetapi Pak Kaduk tak berapa pasti apakah kriteria penting lain yang perlu diambil kira untuk seseorang itu layak menerima anugerah tersebut. Namun begitu, Pak Kaduk boleh senaraikan sedikit apakah kriteria lain yang perlu ada untuk seseorang itu layak menerima anugerah tersebut. Kriteria ini bolehlah dikirakan kariteria-kriteria peringkat tinggi yang tidak sebarang orang yang boleh ada. Jadi apakah kriterianya? Senang saja. Seseorang itu mestilah mempunyai hubungan sedara ataupun hubungan keluarga dengan Guru Utama iaitu kedua ibu bapa (Ustaz Hanafi telah meninggal dunia, jadi yang tinggal sekarang hanya ibu), adik beradik guru utama (abang & adik), ipar , sedara mara (mak bapa sedara).

Persoalan timbul kalau benarlah mereka-mereka yang dianugerahkan ‘title’ tersebut mesti ada hubungan sedara mara dengan Guru Utama, kenapa En Marwi Latif dan Encik Lazim menerima anugerah tersebut. Jawapannya amat mudah juga. Encik Marwi Latif adalah mewakili orang lama dan beliau tidak mempunyai pengaruh dan kedudukan tinggi di Pusat. Jadi kalau diberipun tak ada apa-apa kesan. Ini semua adalah untuk mengabui mata para pengikut dan ahli. Manakala En Lazim pula dianugerahkan title tersebut adalah atas dasar simpati sahaja. Bukannya apa pun. Kalau nak kira sumbangan, banyak orang lain yang telah menyumbang dan berkorban dan lebih hebat dari En Lazim. Tetapi atas dasar simpati dan sekali lagi mengabui mata, diberikanlah anugerah tersebut.

Sebenarnya anugerah tersebut diwujudkan oleh Guru Utama dengan tujuan-tujuan tertentu. Apakah tujuannya? Antaranya ialah:

1- Untuk menunjukkan kuasa Guru. Kuasa mutlak adalah kepada guru dan tidak ada sesiapa yang boleh mempersoalkannya.

2- Untuk menyakiti hati dan merendahkan martabat orang-orang lama, terutama orang-orang yang telah banyak berkorban dan banyak berjasa. Orang-orang ini tidak akan terpilih untuk menerima anugerah tersebut. Percayalah! Sebaliknya orang-orang yang boleh dipersoalkan sumbangan dan pengorbanan yang akan menerima anugerah tersebut. Dan orang-orang ini adalah orang-orang tiada pengaruh dan yang tidak boleh mengugat kedudukan Guru Utama.

3- Untuk mengambil hati ibu dan adik-beradik yang selama ini tidak dihiraukan. Ada suara-suara tidak puas hati di kalangan adik beradik Guru Utama yang mengatakan pendapatan dari hasil silat tidak dikongsi samarata di kalangan adik beradik. Malah ibu sendiri sering berkecil hati dengan tingkah laku guru dan isteri guru. Oleh itu dengan anugerah itu diberikan kepada kaum keluarga, maka sedikit sebanyak rasa tidak puas hati boleh dikurangkan.

4- Untuk mengenang jasa (tetapi kriteria ini sebenarnya tidak membawa impak yang besar, hanya untuk tujuan muslihat sahaja)

Siapakah penerima Anugerah Guru Utama 2007?

Seperti yang telah Pak Kaduk katakan, penerimanya adalah orang-orang yang ada hubungan dengan keluarga. Tak percaya? Kalau mengikut firasat Pak Kaduk, oleh kerana ibu dan dua orang abang Guru Utama telah menerima anugerah tersebut pada tahun-tahun yang lalu, maka pada tahun 2007 sepatutnya abang Guru Utama yang ketiga iaitu Jamaluddin Hj Hanafi @ Abang Gee @ Boss CNI @ Boss Susu Awal Lembu (ini direct selling juga) yang akan diberikan Anugerah Guru Utama. Apa kriterianya En Jamaluddin terpilih? Jangan ditanya kerana Guru Utama mempunyai kuasa mutlak untuk memilih. Lagipun dia adalah abang Guru Utama. Sapa nak bangkang?

Kalau bukan si Jamaluddin tu, maka calon paling dekat adalah bapa sedara Guru Utama iaitu adik kepada Ustaz Hanafi . Mereka-mereka ini telah diberi anugerah semasa majlis makan malam persatuan dengan Anugerah Emas dan yang sorang lagi terkenal sebagai jurulatih teakwando dan tiada sumbangan kepada persatuan telah diberi pula anugerah Pingat Seri Utama pada perayaan 2005 yang lalu (tapi tak datang pun!). Kalau ada yang bertanya siapa mereka ini. Jawapan yang akan diberi adalah mereka ini sangat berjasa di awal perkembangan silat, namun kalau dikaji sejarah perkembangan silat cekak , nama mereka ini langsung tiada dalam senarai. Jadi apakah kriterianya. Sekali lagi, senang sahaja jawapanya, mereka ini ada hubungan keluarga dengan Guru Utama! Ada sapa-sapa nak bangkang?

Jadi anugerah Guru Utama tahun ini belum diberikan? Kenapa? Tiada calon? Bukan tiada calon, tetapi tiada majlis sambutan tenaga pengajar. Jadi tiadalah anugerah yang akan diberi. Habis tu perjumpaan tenaga pengajar pada 20 Januari 2007 yang lalu bukan majlis sambutan tenaga pengajar? Itu hanya majlis seronok-seronok dan untuk melepas gian Guru Utama berucap di hadapan orang ramai sahaja. Maklumlah dah lama tak ada majlis besar, lagi pula dah kena gantung, kat mana lagi nak lepas gian? Kalau setakat bagi sehelai kertas kononnya watikah perlantikan penyelia dan tenaga pengajar yang kita tahu palsu, India jual kacang putih tepi jalan pun boleh bagi……

Jadi siapa penerima anugerah? Pak Kaduk ada cadangan bernas. Oleh kerana Guru Utama telah menjalankan tugas selama 13 tahun dan telah direhatkan pada tarikh yang sama dengan kematian ayahanda beliau, maka kita cadangkan supaya Guru Utama sendirilah yang menerima anugerah tersebut…. Hidup Guru Utama! (Seronok juga ye, sendiri yang buat anugerah, sendiri bagi kat diri sendiri, dan sendiri boleh simpan anugerah tersebut. Sekurang-kurangnya bila dah pencen nanti ada juga kenangan dapat anugerah!)


Pak Kaduk –Tak susah membaca permainan seorang yang amatur!

Read more...