NUR HANAFI………..Ustaz Hanafi Dalam Kenangan - 2

2007/01/20

Setelah beberapa siri Pak Kaduk membentangkan tentang perihal kelakuan anak-anak dan keluarga Ustaz Hanafi yang mana banyak memalukan Ustaz Hanafi, maka penulisan Pak Kaduk pada kali ini ingin menyingkap siapakah individu yang telah menjadi ikon kita semua sejak sekian lama. Perjalanan penulisan Pak Kaduk ini juga ada kaitan dengan suasana semasa persatuan sekarang ini di mana episod hitam dalam pergerakan kita juga telah menghampiri penghujungnya. Namun sebelum kita menutup buku terhadap isu yang diperkata selama sepuloh bulan lalu, elok rasanya kita menyingkap sedikit sebanyak tentang latar belakang dan perwatakan pemimpin agung yang sentiasa dikenang dan disanjung iaitu Al-Marhum Ustaz Haji Hanafi Haji Ahmad. Pemergian beliau masih dirasakan walaupun sebenarnya beliau telah meninggalkan kita semua lebih 20 tahun yang lalu. Kekosongan yang beliau tinggalkan sehingga kini tidak dapat diisi oleh dua orang individu yang pernah menjawat jawatan Guru Utama. Ustaz Hanafi tetap hadir dalam diri setiap kita melalui perjuangan yang beliau tinggalkan. Maka atas sebab itulah, perjuangan beliau tetap kita teruskan walau apapun halangan dan cabarannya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Itulah Ustaz Hanafi, tetap segar dalam ingatan kita.
Ustaz Hanafi mendidik dengan cara hikmah, bukan dengan cara memaksa. Beliau ‘menarik’ golongan yang hina untuk bersama perjuangan beliau dan golongan tersebut menjadi manusia yang beguna hasil didikan beliau. Maka sudah semestinyalah, kita semua akan sentiasa mengenang dan merindui Ustaz Hanafi.
Ustaz Hanafi, hadirmu bak purnama, menerangi malam dan menyerikan suasana. Engkau laksana bintang yang bergemerlapan, tidak puas mata memandang….

Sebagai menghargai dan menyingkap kembali kesah Ustaz Hanafi ini, elok juga kita menyingkap tentang sejarah hidup beliau secara ringkas.

Ustaz Hanafi Hj Ahmad (1923 – 1986) - 63 tahun



Tahun 1923 - dilahirkan di Kg Sungai Baru, Mukim Gunong Alor Setar, Kedah

Tahun 1929 (6 tahun) -mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunong,Alor Setar Kedah

Tahun 1933 (9 tahun) -berlajar di sekolah pondok Kampong Alor Goncah, Mukim Gunong, Alor Setar, Kedah

Tahun 1935 (11 tahun) -diberhentikan dari sekolah kerana dikatakan berkelakuan tidak baik walaupun beliau menafikannya.

Tahun 1936 (13 tahun) -menyambung pelajaran di pondok Guar Chempedak, Gurun, Kedah

Tahun 1937 (14 tahun) -berhenti dari sekolah pondok di Guar Chempedak

Tahun 1937 (14 tahun) - selepas behenti dari pondok di Guar Chempedak, beliau kembali ke kampung beliau dan berlajar dengan beberapa guru sekolah pondok di kampung beliau dan juga bapa saudara beliau untuk beberapa tahun


Tahun 1942 (19 tahun) -mula bertemu dan berlajar dengan Pak Ngah Sharif. Antara ilmu yang diperlajari adalah ilmu ketuhanan dan perubatan.

Tahun 1945 (22 tahun) -berhenti belajar dengan Pak Ngah Sharif selepas 3 tahun bersama guru tersebut

Tahun 1945 (22 tahun) -mula menjelajah ke seluruh tanah air untuk menjual ubat

Tahun 1946 (23 tahun) -menyertai bidang politik dengan menganggotai Parti Seberkas


Tahun 1946 (23 tahun) -bertemu Encik Yahaya Said untuk kali pertama ketika sedang menjual ubat

Tahun 1947 (24 tahun) - mendirikan rumah tangga




Tahun 1956 (33 tahun) - keluar dari Parti Seberkas


Tahun 1957 (34 tahun) -mula belajar dengan Pak Hj Zain Lebai Abdul Rahman

Tahun 1959 (36 tahun) - menyertai Parti Negara pimpinan Datuk Onn Jaafar. Bertanding dalam pilihanraya bagi Kawasan Langkawi sebagai calon Parti Negara tetapi tewas. Setelah tewas dalam pilihanraya, Ustaz Hanafi dan keluarga telah berpindah ke Lenggeng, Negeri Sembilan dan tinggal di sana selama satu tahun setengah.


Tahun 1962 (39 tahun) - kerana kehidupan yang susah di Lenggeng, beliau kembali ke Kedah dan meneruskan kerja menjual ubat di Pekan Rabu dan sekitarnya.

Tahun 1963 (40 tahun) -dilantik menjadi Pegawai Penerangan Pejabat Zakat dan kemudiannya beliau dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Penyelia Zakat bagi kawasan Kota Setar I. Beliau kemudian telah dinaikkan pangkat sekali lagi menjadi Penolong Setiausaha Zakat , Jajahan Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah.

Tahun 1965 (42 tahun) -selepas selama satu tahun empat bulan berkerja sebagai pegawai zakat, Ustaz Hanafi mengambil keputusan berhenti dari kerja tersebut. Keputusan tersebut dibuat disebabkan suasana perkerjaan yang ditekan oleh unsur-unsur & tekanan politik
Tahun 1965 (42 tahun) -berniaga apam balik di Yala, Siam tetapi tidak lama selepas itu berhenti berniaga kerana tidak menguntungkan kerana kejatuhan matawang Siam. Pada tahun ini, beliau telah bertemu dengan Encik Yahaya Said untuk kali kedua pada bulan Disember tahun 1965. Silat Cekak dilahirkan kembali pada 28 Disember 1965 apabila 20 orang penuntut baru telah diijazahkan oleh Encik Yahaya Said. Ustaz Hanafi adalah salah seorang penuntut. Walaubagaimanapun kelas latihan silat belum dijalankan kerana tidak persatuan yang menaungi silat tersebut.


Tahun 1966 (43 tahun) - hasil usaha beberapa rakan dan beliau sendiri, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Sesi Silat, Perkumpulan Seni Seri Budaya Seri Kedah. Perkumpulan ini telah bersetuju digunakan sebagai perkumpulan yang menggerakan Silat Cekak. Selepas menjadi pengerusi Sesi Silat, maka Encik Yahaya Said telah dilantik secara rasmi oleh Perkumpulan Seni Seri Budaya Seri Kedah untuk menjadi Guru Silat. Selepas perlantikan tersebut, barulah kelas pertama Silat Cekak dimulakan. Kemudian kelas silat yang kedua telah dibuka di Telok Wan Jah, Kedah

Tahun 1968 (45 tahun) -kelas silat seterusnya dibuka di Sungai Petani, Kedah

Tahun 1970 (47 tahun) -berhijrah ke Kuala Lumpur, meninggalkan anak dan isteri beliau di Kedah.

Tahun 1971 (48 tahun) -di Kuala Lumpur , beliau telah cuba mengembangkan Silat Cekak. Beliau telah sekali lagi mencari persatuan yang boleh membantu beliau untuk mengembangkan silat ini. Kerana Silat Cekak pada waktu itu belum didaftarkan dan adalah menjadi kesalahan untuk menjalankan kelas silat tanpa persatuan atau pendaftaran rasmi. Beliau telah berjaya mendapat kebenaran persatuan bawean putra untuk menaungi silat ini. Beliau kemudian dilantik menjadi ahli dan juga ketua seksi seni silat Persatuan Bawean Putra, Kuala Lumpur (persatuan sepak raga jaring). Kelas pertama di adalah Kampung Bumiputera, Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur di buka. Seramai 12 orang telah mempelajari Silat Cekak.
Kemudian pada 19 Ogos 1971, Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia telah didaftarkan. Kelas kedua di Sungei Way dibuka pada 6 Disember 1971

Tahun 1973 (50 tahun) - membentang kertas kerja bertajuk ‘Silat Cekak Malaysia di Konvensyen Seni Silat Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Mendapat tentangan dari perlabgai aliran persilatan termasuk Silat Kalimah, Gayung dan Lincah.
Tahun 1974 (51 tahun) -kelas pertama di IPT ditubuhkan iaitu di Universiti Malaya Kuala Lumpur pada Julai 1974.
Tahun 1975 (52 tahun) -kelas kedua di IPT iaitu di Institut Teknologi MARA (sekarang UiTM), Shah Alam ditubuhkan.
Kelas ketiga di IPT iaitu di Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia) di tubuhkan.
Kelas keempat di IPT iaitu di Universiti Teknologi Malaysia ditubuhkan

Tahun 1975 (52 tahun) -nama Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia telah ditukarkan kepada nama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia pada 15 April 1975.

Tahun 1976 (53 tahun)-kelas kelima di IPT iaitu di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang ditubuhkan. Kelas kenam di IPT iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia di tubuhkan pada tahun yang sama.

Tahun 1977 (54 tahun) -penubuhan cawangan Pulau Pinang pada 22 Januari 1977 dan kemudiannya cawangan di Ipoh, Perak pada 27 Mac 1977 ditubuhkan dan lain-lain cawangan pada tahun-tahun berikutnya.

Tahun 1980 - 86 - untuk enam tahun terakhir sebelum akhir hayat beliau, beliau telah banyak melakukan pembaharuan dan melakarkan kejayaan antaranya seperti pembinaan bangunan Silat Cekak, pembukaan kelas di cawangan-cawangan, menubuhkan Koperasi Gerak Jaya berhad, menubuhkan Kelab Sukan Seri Lading, pembukaan Mini Market Gerak Jaya di AU2, Taman Keramat, pembukaan pusat penjagaan kanak-kanak di AU5, Taman Keramat, terlibat ke atas penubuhan PESAKA





Tahun 1986 (63 tahun) -meninggal dunia di rumah beliau di Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur








Pak Kaduk - itulah riwayat Ustaz Hanafi sepintas lalu. Perbincangan lanjut akan dibuat secara berperingkat-peringkat dalam siri-siri yang akan datang.

Read more...