NUR HANAFI….. Ustaz Hanafi Dalam Kenangan – 6

2007/02/08

Penghijrahan Ke Kuala Lumpur

Setelah hampir lima tahun mengembangkan Silat Cekak di bumi Kedah Darul Aman, Ustaz Hanafi merasakan beliau perlu melangkah lebih jauh dalam usaha untuk mengembangkan silat ini. Perkembangan di negeri Kedah adalah sebagai permulaan, namun jika ingin melakukan kelainan dan mendapat kejayaan yang lebih besar, beliau perlu lebih berani melakukan sesuatu yang melangkaui kebiasaan serta berani menghadapi cabaran yang lebih besar. Oleh yang demikian, Ustaz Hanafi telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur, kota metropolitan yang menjanjikan cabaran yang lebih hebat dan membuka era baru di dalam perkembangan Silat Cekak.

Pada akhir tahun 1970, Ustaz Hanafi telah berpindah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan cita-cita beliau mengembangkan Silat Cekak dengan lebih luas. Namun begitu beliau tahu bahawa keputusan yang dibuat adalah satu keputusan yang amat berat. Beliau sekali lagi merantau meninggalkan anak-anak dan keluarga beliau bagi meneruskan hasrat untuk mengembangkan Silat Cekak. Ustaz Hanafi tiada saudara mara yang di kenali di Kuala Lumpur kecuali seorang kawan lama di Kedah yang bernama Hussain Ahmad yang tinggal di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Melalui Hussain Ahmad lah Ustaz Hanafi diperkenalkan dengan beberapa orang kawan yang dapat membantu Ustaz Hanafi untuk memulakan kegiatan beliau di Kuala Lumpur. Malah kedatangan beliau ke Kuala Lumpur juga menghadapi masalah apabila kereta yang beliau telah berjanji untuk tumpang telah bertolak terlebih dahulu. Ustaz Hanafi terpaksa mencari alternatif lain dengan menumpang kenderaan orang untuk datang ke Kuala Lumpur.

Perkembangan Silat Cekak di Kuala Lumpur

Perkembangan awal Silat Cekak di Kuala Lumpur juga memberikan Ustaz Hanafi masalah yang sama sewaktu beliau memulakan pergerakan Silat Cekak di Kedah. Tiada badan atau persatuan yang sah yang boleh digunakan untuk dijadikan jentera untuk mengembangkan silat. Namun, melalui usaha dan bantuan kawan-kawan juga, Ustaz Hanafi telah mendapat pertolongan sebuah persatuan bernama Persatuan Bawean Putra untuk mengembangkan Silat Cekak. Kelas silat pertama di anggotai oleh 12 orang yang berlajar silat di Kampung Bumiputra, Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Kesemua 12 orang penuntut telah menamatkan pelajaran silat mereka antaranya Mohamad bin Abdullah dan isterinya Lijah, Shuib Hj Ahmad, Md Din Awang, Hamzah, Rahim dan Rahman Khalid. Kejayaan menamatkan kelas yang pertama ini memberikan semangat yang lebih tinggi untuk Ustaz Hanafi meneruskan usaha beliau.

Untuk meneruskan perkembangan silat ke peringkat yang lebih luas, Ustaz Hanafi telah mengusahakan supaya kegiatan silat ini didaftarkan. Ustaz Hanafi telah mendapatkan pertolongan sahabat beliau iaitu Abdul Rahman Mahadi yang ketika itu berada di Kedah untuk merangka perlembagaan untuk persatuan. Jadi selepas berusaha bersungguh-sungguh, pada 19 Ogos 1971, kegiatan Silat Cekak telah didaftarkan atas nama Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia. Di peringkat awal persatuan ini menggunakan alamat rumah Hussain Ahmad di No. 39, Lorong Keramat 19, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur sebagai alamat persatuan. Di rumah inilah perhimpunan dan aktiviti silat dijalankan. Pak Hussain juga telah membenarkan kedai beliau di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur dijadikan sebagai tempat perjumpaan ahli-ahli Silat Cekak pada waktu itu. Perkembangan seterusnya adalah apabila kelas kedua di Sungai Way, Kuala Lumpur dapat dibuka pada 6 Disember 1971 disusuli beberapa kelas di Kampung baru dan sekitar Kuala Lumpur.

Silat Cekak selepas itu berkembang agak memberangsangkan dan semakin mendapat sambutan orang ramai. Namun langit tidak selalunya cerah, setelah berusaha keras untuk mengembangkan silat ini, mulalah berlakunya beberapa insiden dan perkara-perkara yang memberi masalah kepada Ustaz Hanafi. Terdapat beberapa halangan dan cabaran sepanjang beliau berusaha untuk mengembangkan silat ini.

a- Tentangan dari anak murid dan fitnah wanita

Selepas tamat kelas yang pertama di Kg Bumiputera Kuala Lumpur, Ustaz Hanafi telah melantik Mohamad bin Abdullah (tamat kelas pertama di Kg Bumiputera) menjadi jurulatih untuk membantu beliau mengajar silat. Walaubagaimanapun, setelah agak lama dan mempunyai pengaruh, Mohamad telah cuba pula mengambil alih dan mengendalikan kelas persilatan dengan cara beliau sendiri. Mohamad juga telah mula menjalankan kegiatan yang kurang sihat iaitu dengan cara menghasut para penuntut supaya membenci Ustaz Hanafi. Hatta beliau pernah cuba menjatuhkan Ustaz Hanafi sewaktu Ustaz Hanafi menunjukkan buah silat di dalam kelas. Namun percubaan Mohamad tidak berjaya. Selepas kegagalan beliau itu, beliau telah cuba menjalankan tektik berbaik-baik dengan Ustaz Hanafi. Sehinggakan beliau mempelawa Ustaz Hanafi tinggal di rumah beliau. Ustaz Hanafi telah menerima pelawaan tersebut kerana Ustaz Hanafi sendiri tiada tempat tinggal yang tetap. Ada beberapa orang yang tinggal bersama Muhamad pada ketika itu iaitu isteri Muhamad yang bernama Lijah dan rakan Lijah bernama Rubiah. Ketiga-tiga mereka ini telah mempelajari Silat Cekak dari Ustaz Hanafi.

Tidak lama selepas itu, Ustaz Hanafi telah melantik Amruddin Buang dan Malino Junsi menjadi jurulatih. Perlantikan tersebut adalah untuk mengimbangi pengaruh Muhamad di dalam kelas persilatan dan juga bagi membantu mengajar silat. Kedua-dua mereka baru berusia 21 tahun ketika dilantik menjadi jurulatih. Tindakan Ustaz Hanafi melantik kedua-dua mereka menyebabkan Muhamad tidak puas hati . Sehingga beliau pernah berkata seperti berikut kepada Ustaz Hanafi: “Mereka tidak layak mengajar silat kerana masih mentah dan kurang berkebolehan, dari kesetiannya belum lagi dapat dipastikan”. Namun Ustaz Hanafi menjawab ‘Jika tidak berkebolehan aku boleh mengajar hingga pandai’. Dari kata-kata yang diluahkan oleh Muhamad, Ustaz Hanafi telah mengetahui tentang perangai dan hatibudi Muhamad tidak elok.

Malah Muhamad seterusnya memberi masalah yang lebih besar lagi kepada Silat Cekak dan Ustaz Hanafi. Ini berlaku apabila beliau telah pergi ke gelanggang Silat Lincah dan mencaci penuntut-penuntut Lincah yang sedang berlatih dan ini telah menimbulkan selisih faham antara Silat Cekak dengan Silat Lincah. Mahaguru Silat Lincah, Omar Din yang tidak puas hati dengan tindakan Muhamad itu telah mencabar Ustaz Hanafi untuk beradu kekuatan. Ustaz Hanafi telah menerima cabaran tersebut. Walaubagaimanapun persetujuan untuk bertarung itu hanya dilakukan selepas 6 bulan dari cabaran yang diterima, itupun selepas Ustaz Hanafi bertemu dengan Omar Din. Tempat pertarungan telah ditetapkan di Dewan Belia Kampung Pandan pada 26hb Februari 1972. Permit polis juga telah diperolehi. Walaubagaimanapun disaat pertarungan hampir berlaku, pihak polis telah membatalkan permit tersebut dan penuntut kedua-dua persilatan telah diminta bersurai. Dengan itu juga pertarungan yang diatur tidak berlaku seperti mana yang dirancang. Pembatalan tersebut adalah atas usaha sahabat Ustaz Hanafi sendiri iaitu Hussein Ahmad. Beliau berbuat demikian kerana bimbang akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini dan akibatnya kelak boleh menjejaskan perkembangan Silat Cekak dan masa depan silat ini. Walaupun Muhamad yang memulakan peristiwa dengan Silat Lincah tersebut, tiada tindakan tegas yang diambil terhadap Muhamad kerana Ustaz Hanafi masih mahu melihat sejauh mana muslihat yang akan dilakukan oleh Muhamad.

Fitnah Wanita

Namun selepas mengetahui helah Muhamad dan isteri beliau, Lijah untuk melakukan sesuatu yang tidak elok, Ustaz Hanafi telah keluar dan berpindah keluar dari rumah Muhamad. Beliau telah menyewa di sebuah rumah di Jalan Hamzah, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Muhamad masih mahu cuba untuk menguasai pentadbiran Silat Cekak. Selanjutnya beliau telah melakukan pakatan dengan isteri beliau Lijah, Rubiah, Osman dan Tambi Beranang untuk menjatuhkan maruah Ustaz Hanafi. Osman telah menyuruh isteri beliau bersubahat dengan cara pergi dan tidur disebelah Ustaz Hanafi sewaktu Ustaz Hanafi sedang tidur nyenyak di biliknya pada suatu malam. Muhamad dan Lijah pula sudah bersedia dengan kamera untuk mengambil gambar kononnya Ustaz Hanafi berlaku sumbang dengan Lijah. Gambar yang diambil nanti akan digunakan sebagai bukti untuk mengugut Ustaz Hanafi supaya menyerahkan wang RM500.00 kepada Osman dan keluar dari Kuala Lumpur. Jika tidak rahsia tersebut akan dibocorkan.

Ustaz Hanafi tidak tunduk dengan tekanan tersebut. Beliau telah dengan berani mempertahankan kebenaran beliau. Beliau malah telah memaklumkan kepada pihak polis terhadap orang-orang yang mengugut beliau. Susulan dari itu, tindakan pemeriksaan doktor telah dilakukan terhadap isteri Osman dan didapati isteri Osman sememangnya seorang pelacur.

Berikutan itu pula, Muhamad membuat fitnah kononnya Ustaz Hanafi telah melakukan perkara yang tidak senonoh dengan isteri beliau Lijah sebanyak 41 kali (sebab itu Muhamad selepas itu dikenali sebagai Mad 41) dan setiap perlakuan tersebut telah dicatitkan dalam buku catitannya beliau kononnya. Apabila cerita tersebut tersebar, ramai juga anak murid Ustaz Hanafi yang mula memandang serong kepada beliau, namun apabila mengetahui cerita tersebut adalah fitnah, mereka mula bersimpati dengan Ustaz Hanafi.

Ugutan Bunuh

Kegagalan Muhamad menjatuhkan Ustaz Hanafi telah membuatkan beliau bertindak dengan lebih agresif. Beliau pernah cuba membunuh Ustaz Hanafi tetapi gagal, malah beliau juga telah mempengaruhi penuntut Silat Cekak bernama Hamzah untuk membunuh Ustaz Hanafi secara curi dengan kerambit ketika ustaz Hanafi sedang minum.

Osman pula sebenarnya seorang penuntut yang biasa dibantu oleh Ustaz Hanafi dari segi kewangan dan tempat tinggal . Tetapi kerana tamak dan inginkan wang yang lebih, beliau sanggup mengugut Ustaz Hanafi untuk mendapatkan wang yang lebih. Tetapi usaha beliau juga gagal.

Manakala Tambi Beranang pula merupakan seorang tokoh lama yang mempunyai pengaruh yang besar di Kuala Lumpur. Beliau pernah mengugut supaya Ustaz Hanafi keluar dari Kuala Lumpur dalam masa 24 jam jika tidak mahu dibunuh oleh beliau. Rancangan beliau juga gagal. Ustaz Hanafi tetap berdiri teguh berkat dengan keyakinan dan kebenaran yang ada pada beliau.

Ekoran dari tindakan melampau oleh beberapa anak murid beliau iaitu Muhamad, Lijah, Rubiah, Osman dan Tambi Beranang, Ustaz Hanafi telah tidak membenarkan mereka terlibat dengan pergerakan Silat Cekak. Tindakan tersebut diambil setelah mereka tidak berubah walaupun telah diberi peluang oleh Ustaz Hanafi untuk sekian lama.

Pengajaran cerita

Suka disebut kembali suka duka Ustaz Hanafi menghadapi kerenah anak murid beliau. Beliau difitnah, diugut dan diganggu dengan berbagai perlakuan serta tindak-tanduk yang tidak elok tetapi masih terus dan tetap mempertahankan diri beliau. Harus juga diingatkan bahawa Ustaz Hanafi berhadapan dengan masalah tersebut seorang diri untuk mempertahankan diri.

Ustaz Hanafi juga difitnah dengan wanita tetapi harus diingat Ustaz Hanafi tidak pergi ke rumah wanita tersebut, sebaliknya wanita tersebut (isteri Osman) yang datang ke bilik beliau untuk memfitnah beliau. Ini berlawanan dengan kes Mad Radhi yang hangat diperkatakan sekarang di mana beliau yang pergi ke rumah anak murid beliau untuk mencabul. Oleh itu jika dikatakan peristiwa yang dialami oleh Mad Radhi sekarang adalah sama dengan peristiwa fitnah yang dialami oleh Ustaz Hanafi, itu adalah tidak betul. Ada banyak perbezaannya antara kedua-dua kes tersebut. Pertamanya, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Ustaz Hanafi tidak mencari atau tidak pergi ke rumah wanita tersebut, sebaliknya wanita tersebut yang datang kebilik beliau. Tetapi Mad Radhi pula bersusah payah pergi ke rumah anak murid dan mencabul mangsa. Keduanya, Ustaz Hanafi menghadapi fitnah wanita ini dengan beliau sendiri membuat laporan polis untuk mempertahankan kebenaran beliau. Sebaliknya Mad Radhi tidak berani berbuat demikian kerana beliau tahu beliau bukan berada di pihak yang benar. Ketiga, Ustaz Hanafi menghadapi kes fitnah ini secara seorang diri tanpa berlindung dengan orang lain, sebaliknya Mad Radhi berlindung dibelakang ibu beliau, adik beradik beliau dan juga anak murid beliau. Beliau tidak berani melangkah ke depan untuk mempertahankan diri beliau.

Jadi peristiwa Mad Radhi mencabul ini bukanlah ulangan kepada peristiwa yang berlaku kepada Ustaz Hanafi seperti mana yang digembar-gemburkan oleh bani Hanafi dan juak-juak beliau. Ustaz Hanafi difitnah dengan niat untuk memalukan beliau dan menghalau beliau keluar dari Kuala Lumpur. Sebaliknya Mad Radhi melakukan perbuatan tidak senonoh itu tetapi menfitnah pula mangsa dengan mengatakan kononnya mangsa yang melakukan perbuatan tidak senonoh. Mad radhi juga sanggup memfitnah orang-orang lama mengatakan mereka hendak menjatuhkan beliau walhal beliau sendiri yang mencari nahas dan mencipta masalah apabila beliau dengan sendirinya telah pergi ke rumah anak murid beliau dan mencabul kehormatan anak kepada murid beliau sendiri.....


Pak Kaduk – Mad Radhi dan juak-juak menggunakan peristiwa mencabul sekarang sebagai alasan mengatakan Ustaz Hanafi juga pernah mengalami fitnah oleh wanita. Tetapi mereka silap, kerana banyak faktor yang kita tahu kedua-dua peristiwa tersebut sebenarnya amat berlawanan sama sekali…….


Seterusnya – lain-lain tentangan dan perkembangan Silat Cekak seterusnya.

Read more...