Bila GURU rencong 6

2006/09/17

Kini tibalah giliran Abg Jamaludin atau Abg G yang akan memberi penjelasan di samping memberi ulasan, inilah yang saya faham dari Abg Amin.

Walaupun begitu suaranya agak perlahan dan kadangkala tak dengar langsung sebutannya walaupun dia menggunakan pembesar suara. Tidak banyak maklumat yang saya dapat. Antara pendengaran yang terputus putus beliau berkata :
"kita tak kesah lah kalau hilang orang lama lama nih..kita sudah ada pelapis"
sambil menunjukkan dan menyebut nama-nama beberapa orang yang duduk di bahagian belakang, saya menoleh untuk melihat, ramai lah abang-abang di belakang yang kelihatan tersenyum.

Sambil itu, Abg G meneruskan ungkapan-ungkapan yang yang tidak berapa jelas mungkin juga kerana saya telah hilang tumpuan. Seketika kemudian saya terdengar suara Abg G yang dengan keras mengatakan,

" Jika sudah tidak mahukan lagi ilmu yang ada, muntah buang segala ilmu yang dapat dan pergi cari guru lain "
Begitu keras bunyinya ungkapan dari Abg G.

Sungguh keras pada mereka yang tak berakal, tetapi sekiranya ada ahli yang bijak di ketika itu mengatakan ia sanggup memuntahkan semula ilmu itu dengan syarat pulangkan kembali duit yang diberi sebagai pengeras ijazah kepada guru, macam mana?

Bagaimana pula jika tidak dihalalkan duit pengeras itu? Semua ahli yang belajar silat cekak bukan percuma mereka membayarnya. Jika Abg Mad tidak menghalalkan mungkin cuma melibatkan seorang murid sahaja tetapi jika murid tidak menghalalkan?
Berapa ribukah ahli Silat Cekak Hanafi seluruh Malaysia ini, jika Abg Mad boleh mengatakan tidak halal ilmu yang diberi begitu lah juga tidak halalnya duit yang diberi sebagai pengeras yang menjadi punca pendapatan utama Abg Mad. Fikirkanlah perkara ini, jangan kita bercakap saperti nafsu telah ditawan.

Dalam saya cuba memberi fokus , terdengar lagi satu ungkapan dari Abg G,

" Tuan tuan tahu dak..makna "Bismilah hirahman nirrahhimm" itu apa maksudnya rahim itu "

" maksud 'rahim' itu adalah..jika pada ibu kita..macam saya nih Mak Teh lah..'rahim' itu yang terdapat didalam perut Mak Teh yang mengandungkan Mad Radzi guru kita sekarang ini"

Begitulah ungkapan yang keluar dari mulut Abg G, (mungkin ada terlebih dan terkurang di dalam saya menulis ini seperti saya kata di awalan lagi saya tidak mengambil nota) harapan saya pada abang-abang yang mengambil rakaman video dapatlah melihatnya semula dan jangan lah dipadam. Seperti kata sang pengamal undang undang terdahulu , "berlaku adil lah pada diri kita sendiri".

Tersentak saya saperti baru dikejutkan dari mimpi bila mendengar ungkapan tadi, betulkah apa yang saya dengar tadi? Saya akui tidak mahir di dalam pengajian Al-Quran, tetapi belum lagi pernah saya mendengar ungkapan saperti yang baru saya dengar sebentar tadi.
Astafirullah al azim, tidak lah saya ketahui apa yang dimaksudkan oleh Abg G tadi, hanya beliau sahaja yang tahu.

Hati saya menjadi luluh dengan apa yang berlaku didalam dewan yang akan menjadi saksi itu, apa yang diharap tidak saperti yang di terima selain kerosakan demi kerosakan,"BENIH HANAFI" yang di harapkan menyambung perjuangan Almarhum hanyalah satu khayalan semata.

Kehebatan nama Almarhum Ustaz Hanafi tercalar, akibat dari sifat tamak dan rakus kepada takhta dan harta. Sedih nya hati bila mengenangkan bertapa Almarhun Ustaz Hanafi tidak mampu melahirkan pendidik bagi menggantikan beliau untuk mendidik anak anak cekak untuk berpadu dalam ertikata bersatu bicara benar, bertindak dengan bijak sana.

Saya pernah mendengar ungkapan dari Abg Mad didalam satu majlis dia mana Abg Mad ada menyebut diantaranya :

" usah lah sembayang, usah lah berpuasa, jika dalam diri kita ini ada sifat sifat munafiq, Bila bercakap dia bohong, bila berjanji dia berbohong...manusia jenis apa macam ini? "

Majlis diakhiri dengan Abg Amin memohon 'ahli-ahli terus ibu pejabat' yang hadir untuk menanda tangani satu kertas memoradum yang mana tandatangan ini akan diguna pakai untuk memohon agar satu mesyuarat agong luar biasa diadakan dan membatalkan mesyuarat agong yang lalu.

Ketika pulang saya mengalirkan air mata di dalam kenderaan yang saya tumpang mengenangkan apa yang berlaku, sehingga pemandu kenderaan yang menumpangkan saya cuba menenangkan dengan kata-kata,

" sabarlah kita sekarang sedang diduga dan perbezaan antara perkara betul dengan tidak betul ini terlalu sedikit" berhati hati lah....
Dimanakah mesra manusia, apabila nista menjadi mulia, Megah jangan melimpah, kita di ikat tali Sejarah....bersambung

Read more...

Bila GURU rencong 5

Selesai persembahan dari Sang Pengamal Undang Undang tadi (minta maaf saya telah hilang rasa hormat kepadanya!) Abg Amin sekali lagi naik ke pentas dan membaca beberapa potong hadis dan membaca serba sedikit ringkasan memorandum yang akan diedarkan kepada hadirin. Abg Amin meminta ahli-ahli yang hadir untuk turut sama menyokong memorandum tersebut. Saya juga diberi helaian kertas yang memuatkan memorandum tersebut.

Seterusnya Abg Amin mempersilakan penceramah seterusnya iaitu Abg Yang ayah kepada Abg Amin sendiri untuk memberi penjelasan tentang apa yang berlaku di dalam mesyuarat badan kehakiman kerana Abg Yang juga adalah ahli jawatankuasa yang mewakili pihak keluarganya.

Ramai ahli tahu akan karektor Abg Yang; bila dia bercakap, memang tak kering gusi dibuatnya, saya sendiri tidak dapat menahan rasa untuk turut sama bergelak ketawa dengan lawak jenakanya. Sehinggalah bila Abg Yang mula menghamun dengan menyebut beberapa nama yang pernah berjasa semasa hayat Almarhum, bukan sahaja kepada persatuan malahan terhadap keluarga Almarhum Ustaz Hanafi sendiri.

Tawa saya tiba-tiba terhenti. Hampir menitis air mata bila saya melihat telatah Abg Yang di ketika itu. Tidak saya sangka seorang yang bergelar Abang Long di dalam keluarga yang dihormati berubah menjadi sedemikian rupa, tidak dapat saya menahan rasa sebak melihat gelagatnya seperti sudah hilang akal, hilang budi bicara hanya kerana mendapat tepukan dari ahli yang datang, seolah-olah dia merasa teruja dan seronok melakukannya.

Pada saya ianya tidak lebih dari tepukan hangat penonton di dalam dewan yang sedang menyaksikan persembahan badut di atas pentas sarkas. Ingin sahaja saya meninggalkan majlis malam itu tapi terhalang oleh kerana saya difahamkan selepas ini Abg Jamaludin atau lebih dikenali sebagai Abg G akan memberi ulasan bersangkutan dengan keadaan semasa ini.

Walaupun hati saya sudah mula tawar, tetapi bila mengenangkan Abg G yang lebih terbuka pemikirannya akan tampil membuat ulasan, maka saya cekalkan hati untuk terus berada di situ dan mendengar penjelasan yang dijanjikan.

Ketika berada di pentas Ria..kata nista telah tersedia..akan ku tutur dengan gaya..khalayak hadirin pasti ketawa..

Banyak bercakap tak baca buku seperti membawa duit tak laku...
bersambung

Read more...

Bila GURU rencong 4

Setelah selesai penjelasan diberikan oleh Abg Azhar, sekali lagi Abg Amin mengambil tempat dan membacakan lagi beberapa potong hadis dan sedikit ulasan yang bersangkutan dengan kes. namun, bagi saya ia hanya sekadar cerita, bukan penjelasan. Walaupun banyak perkara penafian yang dibuat...saya masih menanti dengan penuh harapan...

Seketika kemudian, Abg Amin mempersilakan pula seorang lagi penceramah. Kali ini seorang pengamal undang undang (saya tidak jelas sama ada ianya dari sivil atau syariah) dan nama penceramah ini pun saya tidak tahu. Dengar kata dianya didatangkan khas dari Negeri Sembilan, kalau tak silap lah. ( Jika silap, saya minta maaf ).

Persembahannya cukup menarik perhatian saya untuk terus mendengar. Selain ucapan salamnya yang berjela, pengucapannya diselang-selikan dengan ungkapan hadis dan sirah.

"saya ingin mengucapkan syabas kepada saudara sekalian kerana telah berlaku adil pada diri saudara, kerana sudi mendengar penjelasan pada malam ini. Jangan bercakap pasal adil jika kita sendiri tidak boleh berlaku adil pada diri kita sendiri" .

" kita perlu mendengar dari semua pihak sebelum kita membuat keputusan", tambahnya lagi.

Ini lah ungkapan awalannya (mungkin ada tertambah atau terkurang dalam catatan saya ini jadi saya minta maaf kerana saya tidak mengambil nota pada malam itu). Selanjutnya beliau mengkisahkan darihal perundangan, dan saya tekun mendengar almaklumlah saya bukan terdidik di dalam hal bersangkutan perundangan. Ditambah dengan bahasa bahasa perundangan yang hanya boleh kita dengar di dalam bilik mahkamah sahaja termasuk memperkenalkan 'prinsip keadilan asasi ( natural justice)' dan bila bercakap pasal prinsip keadilan asasi ini maka ianya tidak boleh lari dari prinsip keadilan yang berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia; fasal berapa saya tak pasti.
Alhamdullilah kata hati saya, mungkin malam ini akan terungkailah kekusutan akal dan jiwa saya.

Diteruskan dengan isu semasa yang melanda, yang membawa kepada majlis penerangan malam itu yang boleh disimpulkan sebagai "majlis penerangan dari pihak keluarga". Beliau terus mengecam akan keputusan yang dibuat oleh "Badan Kehakiman Kes Salahlaku" yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka, dengan menuduh mereka-mereka ini (badan kehakiman) dengan pangilan "hakim beruk" dan mahkamah yang bersidang itu adalah "mahkamah beruk". Dan, pada ketika ini, saya dengar ada satu tepukan dari arah kiri saya, bila saya menoleh jelas pasti di mata saya yang bertepuk tangan tadi adalah Abg Yang, sambil telinga saya mendengar akan sebutan dari mulut nya, "Nasib baik aku kata tak salah kalau tidak aku pun jadi beruk macam dia orang jugak ..sebab dia orang kata bersalah", disambut dengan tepukan dari mereka yang hadir.

Jika di luar sana panggilan tertentu pada makamah dan hakim adalah perkara yang biasa bila timbul perasaan tidak berpuas hati, tetapi tidak di dalam persatuan Silat Cekak Hanafi kerana adab dan budaya yang dididik, diasuh dan diterapkan sekian lama, untuk makluman rakan rakan yang membaca coretan ini mereka-mereka yang berada didalam "Badan Kehakiman Kes Salahlaku"adalah terdiri dari mereka mereka yang telah lama berjuang di dalam persatuan sejak zaman Almarhum Ustaz Hanafi lagi dan kesemua mereka itu (kecuali Abg Yang ) berpendidikan tinggi malah ada yang memegang jawatan terkanan didalam organisasi tempat mereka mencari rezeki, juga terdapat seorang pengamal perundangan di dalam barisan "Badan Kehakiman Kes Salahlaku"..adil kah tuan memanggil mereka ini dengan panggilan sedemikian?
Hati saya mula merudum dengan kenyataan dari Penceramah perundangan tadi.

Beliau terus dan meneruskan penglabelan ahli-ahli di dalam "Badan Kehakiman Kes Salahlaku" dan juga "Jawatankuasa Siasatan" dengan pelbagai lagi nama (yang tidak sepatutnya disebut oleh mereka yang terdidik dengan sempurna akalnya).

Di penghujung bicara, beliau menyatakan sokongannya terhadap Abg Mad. Katanya, guru kita ini tidak bersalah kerana itu dia di mulia kan dan adalah semulia-mulia manusia. Kerana mulianya guru kitalah maka dia tidak bersalah. Tidak mungkin Abg Mad akan melakukan perkara-perkara terkutuk, ujarnya sambil mengajak sekalian ahli untuk bersama-sama dengannya dalam menyokong Abg Mad, sebelum mengakhiri ucapannya.

Saya menunggu peluang untuk bertanya, tetapi tiada sesi soal jawab pula, hanya perbincangan sehala sahaja (one way communication), jadi saya bertambah celaru dengan keadaan yang berlaku pada masa ini.

Pertama saya tidak tahu siapakah penceramah tadi (identitinya hanya diketahui setelah bertanya dengan beberapa orang ahli lain pada malam itu). Apakah sumbangannya kepada persatuan? Jika sekadar menjadi jurulatih, sumbangan itu hanya sekelumit sahaja, tapi tidak diketahui jika beliau mencari populariti di dalam kesempatan begini. Entahlah, tak tahu lah saya... apakah sumbangan besar beliau kepada persatuan sehingga boleh melabelkan ahli-ahli lama, yakni ahli-ahli yang lebih senior (Ahli ahli Badan Kehakiman Kes Salahlaku) sebagai beruk. Betapa rendahnya maruah diri tuan sebagai anak murid didikan Silat Cekak.

Kedua saya ingin bertanya sekiranya beliau Ahli Silat Cekak Hanafi (kerana ahli Silat Cekak Hanafi ini terdiri dari pelbagai lapisan Guru Utama, dari zaman Almarhum Ustaz Hanafi, zaman Tn Hj Ishak Hitam dan zaman Abg Mad sendiri) dengan siapa kah beliau diijazahkan dahulu? Sekiranya jawapannya adalah Abg Mad, saya ingin bertanya mengapa beliau menolak Guru Utama yang lalu iaitu Tn Hj. Ishak Hitam? Tidak kah beliau dikatakan telah menderhaka kepada guru? Dan, apakah sumpahan tidak boleh derhaka kepada guru itu telah 'tertempias dan terlibas'?

Ketiga beliau mengatakan tidak adil kepada diri sendiri jika kita tidak mendapat penjelasan dari kedua belah pihak, jadi, adakah beliau sudah mendapat penjelasan dari kedua pihak?

Jiwa saya sudah mula memberontak dengan kenyataan-kenyatan yang dikeluarkan oleh sang peguam yang terlebih arif nya dari yang arif. Minta maaf jika saya berkata demikian, mungkin inilah satu sebab mengapa cawangan Negeri Sembilan sukar dibangunkan, kerana adanya Peguam yang bukan merapatkan hubungan antara ahli tapi lebih kepada menjahanamkan...

Tujuan saya berada di dalam majlis ini ialah untuk mendapat kepastian dari sebuah ketelusan, bukan untuk mendengar caci dan maki dari seorang yang bergelar Pengamal Undang Undang.... Saya bertanya: Adil kah tuan??

Jangan kau dengar mainan puisi dusta yang boleh merosakkan jiwamu....bersambung

Read more...