NUR HANAFI………Ustaz Hanafi Dalam Kenangan - 3

2007/01/23


Ustaz Hanafi dikatakan manusia luar biasa di zaman beliau atas sebab perwatakan dan keperibadian beliau. Beliau disegani dan dihormati oleh kawan dan lawan. Oleh kerana Pak Kaduk tidak ada lagi di dunia sewaktu di awal perkembangan Ustaz Hanafi, maka Pak Kaduk terpaksa menggunakan rujukan-rujukan tertentu untuk disiarkan dalam penulisan Pak Kaduk ini. Salah satu dokumen yang Pak Kaduk masih simpan hingga ke hari ini ialah dokumen kajian ilmiah yang telah dihasilkan oleh isteri Naib Presiden, Tn Hj Md Nasir Md Arshad iaitu Pn Hajjah Halimah Haji Ahmad (Kak Limah) pada tahun 1978 sewaktu Kak Limah belajar ditahun akhir di Universiti Malaya Kuala Lumpur. Kajian ilmiah (thesis) tersebut bertajuk ‘Hanafi Haji Ahmad dan Seni Silat Cekak’. Penulisan di dalam dokumen tersebut Pak Kaduk siarkan semula (dengan izin) untuk mengimbau noltalgia terhadap Ustaz Hanafi. Walaupun Pak Kaduk percaya ramai yang memiliki dokumen tersebut, tetapi mungkin ramai yang telah terlupa dan tidak tahu dimana letaknya. Atau mungkin juga ramai penuntut Silat Cekak sekarang yang tidak mengetahui tentang kewujudan dokumen tersebut. Pak Kaduk percaya penuntut Silat Cekak zaman sekarang tidak didedahkan tentang dokumen tersebut kerana tidak mahu nama dan kewibawaan Ustaz Hanafi meniti dibibir penuntut yang mana ini mungkin menenggelamkan reputasi guru semasa.

Pak Kaduk siarkan kembali kisah silam mengenai Ustaz Hanafi seperti yang tercatit di dalam kajian ilmiah tersebut dengan beberapa tambahan dan penyesuaian dibuat tetapi tidak melarikan fakta. Usaha ini adalah untuk memberitahu kepada generasi muda Silat Cekak supaya sedikit sebanyak dapat mengetahui dan mengenali siapakah dia Ustaz Hanafi Haji Ahmad. Hayatilah bagaimana susahnya Ustaz Hanafi mencari ilmu dan telah berlajar dengan ramai guru-guru dalam berbagai bidang semata-mata untuk mencari kesimpulan tentang hidup dan kemudiannya untuk diturunkan kepada anak murid beliau. Pengajaran yang hendak Pak Kaduk sampaikan di sini ialah, untuk menjadi orang yang berilmu dan berpengetahuan, kita perlu berusaha dan mencari ilmu dan berguru dengan sesiapa yang mempunyai ilmu. Bukan hanya duduk diam dan mengharapkan orang datang mengajar kita. Ilmu pengetahuan tidak akan datang bergolek kepada kita kerana setiap ilmu itu perlu ada guru yang mengajarnya. Oleh itu kitalah yang harus berusaha untuk mendapatkan ilmu. Bukannya didapati secara ‘magik’ seperti mana ramai dari kita generasi sekarang fikirkan. Bukanlah semudah itu untuk menuntut ilmu.

Seperti yang telah kita ketahui, Ustaz Hanafi dilahirkan pada tahun 1923 di Kampung Sungai Baru, Mukim Gunong, Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak sulong kepada tujuh orang adik beradik. Beliau mendirikan rumah tangga pada tahun 1947 semasa berumur 24 tahun. Hasil perkongsian hidup rumahtangga beliau, telah dikurniakan enam orang cahaya mata, lima lelaki dan seorang anak perempuan. Sekarang ini, kesemua anak-anak Ustaz Hanafi telah mendirikan rumahtangga dan tinggal di sekitar Kuala Lumpur bersama-sama keluarga masing kecuali anak yang bongsu perempuan yang masih tinggal bersama-sama ibu beliau di rumah peninggalan Ustaz Hanafi di Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur.

Kita semua juga tahu bahawa Ustaz Hanafi adalah pengasas Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia setelah menerima ilmu Silat Cekak daripada Encik Yahaya Said, melalui Perkumpulan Seni Sari Budaya Seri Kedah. Selain memegang jawatan Guru Utama, beliau juga memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Seni Silat Cekak, sebuah persatuan yang diasaskan oleh beliau untuk mengembangkan ilmu silat cekak. Sepanjang menjalankan tugas tersebut, Ustaz Hanafi juga mengajar ugama dengan mengadakan ceramah-ceramah ugama dan kursus tauhid. Sebelum mengasaskan silat ini, Ustaz Hanafi pernah mempelajari Tomoi Siam, Silat Sendeng, Silat Terelak dan akhir sekali Silat Cekak. Ustaz Hanafi meninggal dunia pada 13 Ogos 1986 di rumah beliau di Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur pada usia 63 tahun. Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan Islam, Keramat Permai, Kuala Lumpur. Beliau meninggalkan seorang balu dan enam orang anak. Dan yang paling penting beliau telah meninggalkan PERJUANGAN beliau kepada kita untuk kita semua teruskan.

Perwatakan Ustaz Hanafi

Ustaz Hanafi adalah manusia yang ‘simple’ dalam kehidupan tetapi tegas dalam membuat keputusan. Ustaz Hanafi tidak mudah percaya kepada orang lain tanpa disertakan hujah dan sebab dan musababnya. Setiap perkara yang dinyatakan kepada beliau perlu dibuktikan kenyataannya samada benar ataupun tidak. Di waktu kecil, beliau merupakan seorang yang degil kerana tidak mengikut nasihat orang Bila beliau dewasa, sifat tersebut masih kekal.

Beliau juga seorang yang bijak. Kebijaksanaannya membolehkan beliau berfikir dan merancang serta membuat keputusan sendiri tanpa meminta pandangan orang lain. Ustaz Hanafi juga seorang yang pandai berhujah, agresif, berjiwa Melayu tulen, bijak dan hanya menerima nasihat jika kena pada tempatnya. Beliau tidak suka menonjol diri, tidak suka diampu dan mengampu, pendiriannya tegas dan pandai menyesuaikan diri. Pakaiannya mengikut aliran zaman. Beliau juga seorang yang cergas, rajin membaca, cenderong pada keagamaan dan mempunyai jiwa dakwah yang kuat. Oleh itu Ustaz Hanafi memang lebih dari layak untuk menjadi seorang pemimpin.

Ustaz Hanafi juga suka menolong orang-orang yang susah, beliau tidak kagum dengan orang hartawan dan berpangkat. Fikiran beliau maju kehadapan dan dapat mengatasi pendapat orang lain dalam segala bidang samada agama, politik mahupun silat. Sejak dari kecil beliau merupakan seorang yang berani pada jalan yang benar, berani bertikam lidah dengan sesiapa sahaja dan berani mengeluarkan pendapat beliau. Fahaman kebatinannya terhadap Allah swt sangat dalam dan beliau suka mencari benda-benda ajaib yang berlandaskan agama Islam.

Ustaz Hanafi banyak mempelajari dari pengalaman beliau sendiri, melalui pembacaan yang luas dan guru-guru yang didampingi beliau. Peribadi beliau yang tidak mahu bertolak ansur dengan orang lain kerana berpendirian tegas. Beliau bukan merupakan seorang konservatif dan liberal dalam hal-hal yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Mempunyai fahaman yang luas dalam bidang agama. Mengkaji sampai ke intipatinya dan ajarannya mengenai Islam mudah difahami.

Anak-anak murid Ustaz Hanafi melihat beliau seorang yang sangat merendah diri, tidak mengaku pandai dan hebat, tidak suka merendah-rendakan martabat orang lain, tidak minta dihormati atau di sanjung. Beliau boleh diibarat seperti seorang bapa pada satu masa dan pada masa yang lain sebagai sahabat, guru agama dan guru silat. Ustaz Hanafi tidak kedekut dan makan duit anak murid. Beliau juga tidak suka berhutang. Pengetahuan agama beliau amat tinggi, amalan syariat beliau sangat dititik beratkan. Hatta walau kemana beliau pergi, beliau sentiasa tidak mengabaikan suruhan Allah swt. Beliau tidak membesar diri dan menunjuk-nunjuk, tidak meminta-minta. Beliau juga amat kasih kepada para anak murid dan pentadbir-pentadbir yang bersama beliau. Yang paling penting ialah Ustaz Hanafi tidak mengambil kesempatan ke atas anak murid beliau.

Kegemaran

Ustaz Hanafi amat berminat dengan silat. Beliau gemar membuat kajian tentang silat melayu yang di ada di kampung beliau dan juga kampung sekitar. Beliau juga seorang yang gemar membaca buku-buku berkaitan pahlawan-pahlawan Melayu, kelebihan wali-wali Allah, ugama Islam dan tentang perundangan Islam. Buku perundangan Islam karya Kiai Muhammad Fadullah Suhaimi dari Singapura merupakan buku yang diminati oleh beliau kerana Kiai Muhammad mempunyai fahaman yang sederhana. Kiai ini tidak memandang rendah fahaman-fahaman mazhab Islam seperti Shafie, Hambali, Maliki dan Hanafi.

Ustaz Hanafi juga mempunyai kegemaran yang agak aneh iaitu kegemaran menziarahi makam-makam pahlawan dan ulamak-ulamak yang soleh lagi keramat, umpamanya beliau pernah menziarahi makam Tuan Hussein di Titi Gajah, Tuan Sheikh Abdul Jalil, Mufti Negeri Kedah yang meninggal dunia lebih 200 tahun yang lampau di Tanjung Pauh, Jitra, Kedah; makam Tok Pulau Manis di Terengganu, makam Tuan Syed Abdul Rahman di Kampung Paloh, Terengganu dan makam Syed Salleh anak Al-Marhum Hj Abdul Rahman Limbong juga di Terengganu.


Siri seterusnya – latarbelakang pendidikan Ustaz Hanafi

Read more...