YM EN MARWI LATIF TERUS YAKIN MELANGKAH...

2007/05/03

PK2 sekali lagi merasa senang hati apabila satu lagi majlis Silat Cekak Hanafi iaitu Hari Tenaga Pengajar pada 1 Mei 2007 yang diadakan di Auditorium bersejarah MPAJ berjalan lancar. Satu suasana yang hening dan amat berbeza di awal majlis kerana masih ramai lagi yang masih terasa bahang peristiwa hitam yang berlaku tetapi pada masa yang sama ramai yang bersyukur kerana suasana persatuan sudah kembali menceriakan dengan perjumpaan tenaga pengajar yang diadakan. Ini bermakna persatuan sudah mula bergerak seperti biasa dan melaksanakan tanggungjawab kepada dan juga kelas-kelas persilatan.

Persatuan terus melangkah dengan kukuh dan yakin bersama-sama kepimpinan yang baru disokong oleh barisan kepimpinan lama. Gabungan itu terus membuahkan hasil yang menyakinkan dengan pengaturan strategi yang berkesan dan mantap.

Kehadiran yang melebihi 250 orang itu juga sebenarnya diluar jangkaan kerana difahamkan tidak semua tenaga pengajar dari seluruh negara yang dijemput. Kalau mengikut perbandingan tahun-tahun sebelumnya di mana kehadiran sekitar 450 – 500 orang, kehadiran kali ini tidaklah menghampakan jika dilihat dari jumlah kelas yang dijemput. Tidak ramai wakil cawangan yang hadir, namun beberapa orang wakil cawangan seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu dan sudah tentunya wakil kelas di sekitar Lembah Kelang juga turut hadir memberikan sokongan.

Suasana kekeluargaan terpacar dari setiap riak wajah yang hadir apabila masing-masing saling bersalaman dan berpelukan apabila berjumpa. Mungkin kerana sudah lama tidak berjumpa ataupun sememangnya kemesraan itu sedia terjalin dalam ikatan perpaduan Silat Cekak Hanafi. Mungkin juga atas suasana persatuan yang sudah kembali tenang selepas taufan melanda. Masing melepaskan perasaan lega yang amat sangat dan kembali bersemangat untuk meneruskan perjuangan silat ini. Sudah tidak ramai yang botak nampaknya. Rambut masing-masing sudah tumbuh panjang selepas kali terakhir kelihatan masih pendek kerana bernazar atas kejatuhan mantan GU dan perlantikan GU yang baru sewaktu majlis pengistiharan GU yang lalu.

Hari itu PK2 hadir agak lewat sedikit. Malah semasa PK2 sampai, GU YM En Marwi Latif sudah tiba. Ramai ahli LPT yang telah hadir dan berbual mesra dengan beberapa ahli lain di luar pintu utama. PK2 masih tidak terlepas majlis pada hari itu kerana majlis dimulakan juga agak lewat dari jadual asal. Oleh itu PK2 masih dapat mengikuti perjalanan majlis dari mula sampai akhir. Walaupun agak lewat sampai, AJK program mengajak PK2 minum pagi di dewan makan. Bagus juga ye, perut pun belum diisi, apa lagi laju saja lah PK2 mengisi perut.

Sebelum majlis bermula, PK2 ditunjukkan kepada seorang lelaki yang berusia sekitar separuh abad berkemeja putih sedang berbual dengan beberapa orang lama. PK2 tanya, sapa dia tu? Itulah Pak Berahim. Pak Berahim mana? Alah Pak Berahim, member BM (Bukit Mertajam), dia ada sangkut paut juga dengan keluarga Mak Teh. Suku sakat juga lah katakan. Anak dia ada berlajar silat kat UIA Gombak. Sekarang dah kerja kat Pulau Pinang . Ooo…. Macam tu ke… Persatuan jemput dia datang ke? Tak tau lah pulak.…..

PK2 selidiki lagi, rupanya Pak Berahim ni memang orang lama kat Bukit Mertajam. Sebelum ni PK2 tak pernah nampak pun dia. Mungkin kali ini dia datang kerana semangat untuk sama-sama menyokong pergerakan Silat Cekak Hanafi yang diterajui oleh pemimpin baru. Hairan juga ye, kalau betul dia ni adalah suku sakat Mak Teh, maka dia ni pun suku sakat mantan GU. Kenapa sebelum ni tak pernah nampak? Apakah kerana mantan GU tak pernah jemput beliau atau beliau ini telah dilupakan oleh Bani Hanafi? Apa sebenarnya yang berlaku? Tak tahu PK2 nak menjawabnya.

Perjalanan majlis

Permulaan majlis agak suram juga, maklumlah tidak seramai seperti kebiasaannya. Nyanyian lagu Peneraju Warisan Mutlak bergema diikuti bacaan doa dan ucapan pengerusi majlis. Kemudian Pemangku Presiden Tn Hj Nasir Arshad memberi ucapan diikuti dengan ucapan GU YM Encik Marwi Latif. Berbanding ucapan Pemangku Presiden yang ringkas dan padat, ucapan GU kali ini agak panjang dan banyak nasihat dan amanat yang disampaikan kepada para tenaga pengajar. Kalau ucapan Pemangku Presiden yang lancar, ucapan GU agak tersangkut-sangkut di beberapa tempat. Mungkin sebab masih baru memegang tampuk pemerintahan ataupun tidak biasa. Tak apa, alah bisa tegal biasa. Lama-lama kelamaan elok lah tu. Bukan semua orang bermula dengan kepandaian. Semuanya perlu berlajar. PK2 rasa inilah satu aspek yang perlu diberi penekanan dan dipertingkatkan oleh GU yang baru supaya dapat memberikan impak yang lebih besar pada masa-masa yang akan datang. Tapi tak apa, kita tak perlu risau sangat perkara ini. Orang disekeliling GU sekarang bukannya tak biasa kerja. Semuanya adalah tokoh-tokoh hebat yang terlah terbukti kehebatan mereka. Dengan kekuatan tokoh-tokoh ini jugalah yang menjadikan mantan GU yang lalu kelihatan cukup hebat walaupun umum mengetahui bahawa beliau bukanlah manusia hebat dan serba pandai.

Selepas itu bacaan ikrar tenaga pengajar dijalankan diketuai oleh wakil dari Perak. Hebat juga suara kawan kita yang seorang ni. PK2 tak tau nama dia, tetapi biasa tengok dalam majlis-majlis persatuan yang lalu. Kemudiannya diikuti dengan penyerahan watikah perlantikan ahli LPT. Seperti yang PK2 maklumkan pada artikel terdahulu, semua ahli LPT yang lama telah dilantik semula bersama-sama dengan dua orang tokoh baru iaitu Tn Hj Shafie Latif dan Hassanmudin Mohd menggantikan dua orang ‘pengkianat peringkat tertinggi’ dari kalangan Bani Hanafi yang digugurkan.

Selepas majlis berhenti rehat untuk minum (yang kononnya hanya 15 minit, berakhir hampir sejam!), satu forum persilatan diadakan. Forum tanpa tajuk ini dipengerusikan oleh saudara Ramlee Rahman, setiausaha agung, tokoh yang semakin mendapat perhatian sekarang ini atas pendirian dan usaha beliau menghadapi isu hangat yang melanda persatuan setahun yang lalu. Majalah Beladiri pun dok masuk gambar dia, ok lah tu... Terdapat empat orang ahli panel yang menyertai forum yang kesemuanya tokoh-tokoh lama iaitu Tn Hj Amruddin Buang, Tn Hj Yusof Che Mat, Tn Hj Shafie Latif dan juga Gu sendiri YM En Marwi Latif. Topik perbincangan adalah berkisar kepada pengalaman bersama Allahyarham Ustaz Hanafi, detik-detik mula belajar dan juga menjurus kepada isu taksub kepada guru dan juga isu mandat. Perbincangan ini mendapat rating yang bagus dari ahli-ahli malah ramai yang mengeluh kerana terasa masa yang diperuntukan amat pendek walaupun sebenarnya forum berlangsung hampir 2 jam . Forum yang bermula sekitar 12 tengahari itu berakhir hampir jam 2 petang. Maklumat yang dikongsi pada sesi forum ini amat berharga kepada generasi baru untuk susah payah diperingkat awal Ustaz Hanafi untuk meneruskan perjuangan bersama ahli-ahli lama yang ada.

Ada juga bunyi-bunyi yang juga mempersoalkan tentang isu-isu remeh yang dibangkitkan oleh GU pada hari itu semasa forum. Kata mereka perkara itu sebenarnya isu kecil yang tidak seharusnya diperkatakan di dalam forum yang melibatkan ahli ramai. Perkara-perkara seperti baju , kebersihan diri dan isu kecil lain tak payah lah disebut. Itu sendiri mau ingat. Lagipun , kalau diperkatakan isu itu, nampak macam tak ‘kembang’ pemikiran kita. Mungkin betul juga kata mereka itu. Maklumlah budak-budak sekarang dah cerdik. Dah tahu menilai sesuatu perkara. Jadi pada Pk2, jadikan itu sbagai komen membina untuk makluman pihak yang berkenaan dan diambil tindakan yang sepatutnya untuk masa depan. Pada PK2 juga susah nak komen. Bagi masa lah sikit untuk buat adjustment….

Pada PK2, bagus juga sebenarnya kalau forum seumpama ini diadakan selalu untuk ahli menimba ilmu dan berkongsi pengalaman. Satu perkara yang PK2 nak bagitau, PK2 rasa ahli panel seramai 4 orang adalah terlalu ramai. Bila dah ada 4 orang, masing-masing cakap sikit, dah habis masa. Ada baiknya kalau pada masa akan datang dibuat dengan hanya dua orang sahaja ahli panelnya ataupun paling banyak 3 tiga orang. Kalau tidak ahli komplen sebab tak puas dengar. Walaubagaimanapun, PK2 ucapan syabas atas usaha tersebut kerana sebelum ni kalau tak silap PK2 benda macam ni tak pernah dibuat pada zaman mantan GU dahulu. Mungkin mantan GU takut pukulan orang lama akan memalapkan sinar beliau sebagai GU, tak tahulah!.

PK2 juga bersetuju dengan pandangan beberapa orang ahli supaya okoh-tokoh lama lain seperti Tn Hj Nasir, Tn Hj Kamarul, Amrahi, Kamaruzaman Ahmad, Rahman Amin turut dijemput menjadi ahli panel pada forum yang akan datang.

Pada keseluruhannya majlis berjalan lancar dan berjaya dilaksanakan dengan baik. Mungkin ada kurang sana sini tu boleh diperbaiki pada masa depan. Seperti biasa orang yang sebuk bertugas adalah muka-muka yang sama. Sdra Azlan dengan jawatankuasa beliau, Zul Said dengan gambar-gambarnya, Cik Din pula dengan kemera video besarnya, serikandi dengan ketuanya Tg Azlina di bahagian protokolnya dan beberapa lagi petugas yang masih tidak penat berbakti. PK2 dapat tahu Ramli Bo dan ahli demonya pun sempat buat aksi atas permintaan krew televisyen NTV9. Syabas Pak Ramli. Bila nak kawin? Lama dah ni. Sampai bila nak pegang jawatan presiden Kelab Bujang Senang?

PK2 – malam tu PK2 tonton berita NTV9, ada disiarkan tentang program perjumpaan Hari Tenaga Pengajar SCH dan juga temuramah dengan GU YM Encik Marwi Latif serta beberapa orang ahli. Baguslah… semoga terus berjaya hendaknya.

Read more...