MASIH ADA SINAR UNTUK KITA..…..
2007/01/17
Setelah Mad Radhi di talqinkan tempohari, maka berakhirlah riwayat dan kesah Mad Radhi dan kelakuan songsang beliau dalam ruangan dan penulisan Pak Kaduk sejak sekian lamanya. Kisah suka dan duka berkaitan Putera Hanafi yang malang itu akan menjadi lipatan sejarah hitam yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh semua pengamal dan pendokong dalam pergerakan Silat Cekak Hanafi. Seorang putera yang kononnya akan menjulang panji-panji Hanafi, akhirnya bertukar menjadi manusia yang membakar panji-panji yang pernah dijunjung oleh ayahanda beliau sendiri. Apalah malangnya nasib para pendokong setia kepada pergerakan ini. Bukan sekali musibah melanda, tetapi dua kali. Dalam tempoh hampir 21 tahun selepas Ustaz Hanafi meninggalkan kita, kita diuji dengan ujian yang hebat. Trajedi malang yang melanda pergerakkan ini telah menguji minda dan ketahanan jiwa kita semua. Ianya juga telah menguji kefahaman dan kecekalan kita terhadap perjuangan yang telah dirintis oleh Al-Marhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad. Apakah ada lagi ujian yang hebat yang akan melanda kita dalam episod akan datang? Kita hanya boleh berdoa agar perkara yang menyedihkan ini tidak akan berlaku lagi. Biarlah itu semua menjadi satu kenangan pahit yang kita jadikan sebagai teladan dan sempadan. Langit bukannya selalu mendung, setelah awan berarak pergi, terpancarlah cahaya yang memberi sinar dan harapan…
Begitulah satu episod dalam ‘diary’ sebuah perjuangan. Janganlah takut, janganlah gusar. Setiap perjuangan itu pasti menghadapi cabaran. Cabaran itu menjadikan kita lebih matang dan kuat. Cabaran itu adalah tonik yang paling mujarab untuk meningkatkan martabat dan menjadikan kita supaya kita lebih tenang menghadapi tugas seterusnya.
Perjuangan mesti diteruskan, kebenaran mesti ditegakkan. Perjuangan kita bukan perjuangan individu tetapi perjuangan untuk pergerakan Silat Cekak Hanafi. Pemimpin datang, pemimpin pergi. Oleh itu janganlah gusar dan sedih kepada pemimpin yang telah pergi. Kita tetap menghargai jasa beliau tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh berkompromi dengan kecurangan. Kita boleh bertolak ansur dalam hal-hal yang berkaitan bidang tugas dan tanggungjawab tetapi kita tidak boleh bertolak ansur dalam hal yang berkaitan dengan HUKUM dan PRINSIP. Yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah. Biarpun pemimpin itu adalah pemimpin besar, jika kesalahan telah dilakukan, maka hilanglah kelayakan seseorang itu untuk memimpin. Pada pandangan kita, sesiapapun boleh mengambil alih kemudi pergerakan ini. namun harus diingat, walaupun nakhodanya bertukar ganti, tetapi perjuangan itu adalah perjuangan yang sama. Matlamatnya adalah matlamat yang sama. Samalah apa yang berlaku sewaktu Ustaz Hanafi meninggalkan kita, perjuangan beliau tetap diteruskan oleh anak murid beliau yang setia. Tidak kira siapa yang menjadi nakhoda selepas itu, asalkan perjuangan dengan matlamat yang sama, maka pemimpin tersebut mesti disokong dan didokong. Sebaliknya jika pemimpin itu telah menyimpang dan melakukan kerosakan, maka wajib bagi kita untuk menghalang beliau dari terus melakukan kecurangan dan kerosakan di dunia ini.
Hari ini kita bangun dari tidur bagi menghadapi hari-hari seterusnya. Hari ini semestinya lebih baik dari semalam, semalam lebih baik dari hari sebelumnya dan begitulah hendaknya perjalanan hidup kita di dunia ini. Hari-hari yang mendatang menjanjikan kemanisan dan kemakmuran. Esok masih ada mentari yang menyinar. Kita jangan bersedih dan menjadi lemah. Sepatutnya peristiwa lalu menjadikan kita lebih kuat dan hebat. Maka dengan kekuatan dan kehebatan kita semua, kita pasti ESOK MASIH ADA SINAR YANG MENGEMBIRAKAN…..
Pak Kaduk- hanya boleh berdoa dan menyumbang bakti melalui penulisan yang tidak seberapa. Itulah yang boleh Pak Kaduk lakukan buat masa ini. Semoga Silat Cekak Hanafi terus berkembang maju selepas melalui zaman gerhana yang mendukacitakan. Amin