KESAN DOMINO

2007/03/23

Apa itu permainan domino? Domino adalah kepingan kayu leper yang ditanda dengan bintik-bintik yang merupakan sebagai sejenis permainan di atas meja dengan menggunakan jumlah kepingan kayu standard sebanyak 28 keping. Ianya merupakan satu permainan yang unik dimana kesan yang berlaku kepada kepingan kayu yang disusun adalah berlarutan dan berterusan dari satu kepingan ke kepingan yang lain dengan hanya satu sentuhan atau jatuhan. Cara jatuhan dan keunikannya adalah berdasarkan kepada kreativiti si pemain yang merangka dan menyusun supaya kelihatan cantik dan menarik dan dapat memberikan satu corak yang menarik apabila jatuhan yang berterusan berlaku satu demi satu. Sehingga apabila semua kepingan telah jatuh, maka terpampang pula satu corak atau abstrack yang menarik yang berlainan dari rupabentuk corak yang asal. Itulah domino dan permainannya.

Atas sebab keunikan permainan ini , maka ramai dari kalangan kita yang gemar melihat gerakan berterusan ini dan alunan jatuhan dan jika ditambah dengan iringan muzik, maka akan bertambah menarik lagilah jatuhan dan corak yang ditunjukkan. Sebab itu, di dalam demonstrasi silat kita juga, apabila dikatakan demo domino, maka kita akan dapat menyaksikan pergerakan pertunjukan silat yang dilakukan secara berurutan yang menghasilkan gerakan berterusan dan dengan iringan muzik yang sesuai, ianya akan menarik perhatian orang ramai yang menonton pertunjukkan silat.

Kesan

Bagaimana pula yang dikatakan dengan ‘kesan domino’ itu? Kesan domino adalah perubahan kecil yang mengakibatkan perubahan yang sama dan berterusan. Apa yang ingin Pak Kaduk kaitkan di sini ialah ‘impak yang berterusan/berlanjutan hanya dengan satu perbuatan/tindakan’. Inilah yang berlaku dalam Silat Cekak Hanafi setahun yang lalu. Oleh kerana perbuatan seorang manusia yang singkat fikiran, pergi mencabul anak dara orang, maka akibah dan musibahnya terpalit kepada semua orang. Kesan tersebut sambung menyambung dan mengambil korban yang bukan sedikit. Kesan yang paling ketara ialah hilangnya silaturrahim yang telah dibina begitu lama. Ukwah dan kesepakatan yang dilaung-laungkan selama ini hanyalah dogengan sahaja apabila disulam dengan unsur-undur taksub dan bangga diri.

Kenapa Pak Kaduk katakan silaturrahim telah hilang? Kenapa tidak, orang-orang yang selama ini kita hormat dan kasih telah menjadi musuh. Percakapan yang penuh budi bahasa telah menjadi maki dan cerca. Perhubungan dan harmoni telah menjadi masam mencuka. Tiada lagi keindahan dan keceriaan. Semuanya penuh dengan nafsu amarah dan kesumat yang tidak berkesudahan.

Dan itulah sebenarnya padah dan KESAN DOMINO nya. Oleh sebab satu tindakan yang bodoh seorang pemimpin besar, habis roboh dan hancur segala kemegahan yang selama ini dibina. Alangkah hinanya kita…. Alangkah malunya kita. Kemana mahu kita membawa muka.? Jika permainan domino menghasilkan gerakan dan jatuhan yang menarik, permainan domino dalam Silat Cekak Hanafi ini bukanlah begitu jadinya. Permainan domino kita ini tidak seindah yang diharapkan. Permainan ini penuh dengan kekalutan dan kacau bilau yang tidak menyeronokkan.

Peristiwa 10 march 2006

Menyingkap kembali perisiwa yang berlaku pada 10 March 2006 di mana mantan Guru Utama yang telah pergi ke rumah anak murid dan mencabul anak dara sunti murid beliau. Siapa yang akan menjangkakan bahawa apa yang berlaku selepas itu adalah sesuatu yang diluarkan pemikiran kita sewaktu itu. Kesan yang berkaitan antara satu sama lain yang berlaku satu persatu dan berlanjutan sehingga sekarang. Tidak terfikir di benak fikiran kita peristiwa yang berlaku pada 10 March 2006 itu meragut kedamaian Silat Cekak Hanafi dan juga mengorbankan ramai orang-orang yang tidak berdosa. Cuba kita renungkan sejenak, adakah begini yang kita jangkakan akan berlaku sewaktu kita berada dimasa tersebut ? Pak Kaduk amat pasti tiada sesiapapun yang akan menjangkan begini yang tersurat akhirnya. Siapa yang boleh merancang sebegitu rupa jalan ceritanya? Siapa pula yang boleh menetapkan apa yang boleh berlaku? Kalau dikaji dengan teliti, semua itu adalah diluar kawalan dan kuasa kita semua. Allah swt maha mengetahui dan dia jugalah sebenarnya yang menyusun dan merencanakan semua perkara yang berlaku dari tarikh keramat tersebut sehinggalah sekarang.

Bermula dengan peristiwa hitam tersebut, satu lapuran rasmi dibuat kepada persatuan, kemudian jawatankuasa siasatan dan kehakiman bertugas, keputusan dibuat, orang lama dituduh sebagai dalang, MMK mengambil tindakan, MMT bersidang, Mak Teh memaki orang lama, MMT pertama membenarkan Mantan Guru Terus menjalankan tugas, YDP cawangan bertindak ganas dan merempuh masuk bilik mesyuarat MMT, Naib Presiden MMK dan Bendahari Agung meletak jawatan, MMK kemudian menolak keputusan MMT kerana kesilapan teknikal dan pengerusi mesyuarat MMT yang bias, Mantan Guru Utama menampar anak murid, Mantan Guru Utama dipanggil oleh pihak polis dan diberi amaran keras kerana kesalahan menampar orang, suratkhabar Harian Metro menyiarkan kisah Guru Cabul, Mantan Guru Utama terus engkar arahan dan tetap menjalankan tugas sebagai Guru Utama, Mantan Guru ditahan reman oleh polis selama empat hari atas tuduhan mencabul, Mantan Guru dihadapkan di mahkamah, Majalah Seni beladiri menyiarkan kisah Mantan Guru Utama yang diambil tindakan oleh MMK, MMT bersidang kali kedua berkaitan isu Guru Cabul, MMT menggugurkan mantan guru dan melantik Guru Utama yang baru……. Itulah sebahagian dari rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang setahun yang lalu dan telah mengakibatkan banyak kerosakan dan kemusnahan kepada imej Silat Cekak Hanafi.

Keputusan MMT

Akhirnya MMT membuat keputusan juga pada 18 March 2007 yang lalu. Keputusan mesyuarat MMT itu adalah berdasarkan kepada kesan domino yang berlaku sejak setahun lalu. Apakah domino telah habis jatuh atau akan ada lagi ? Pada pandangan Pak Kaduk kesan domino atas perlantikan Guru Utama yang baru ini akan berterusan lagi sehingga semua domino jatuh. Kalau dalam permainan domino, jumlah kepingan kayu yang standard adalah 28 keping sahaja, tetapi kesan domino dalam Silat Cekak Hanafi ini jumlah kepingannya adalah terlalu banyak dan tidak terkira jumlahnya. Soalannya bilakah semua jatuhan itu akan habis? Tunggulah sajalah, Pak Kaduk pun tak tahu bila nak habis! Pangarahnya bukan kita. Allah swt juga yang maha mengetahui. Tuhan sekelian alam. Dia yang menyusun kepingan domino itu dan Dia jugalah yang mengetahui apa yang akan berlaku kepada kepingan domino yang seterusnya. Kita sebagai manusia, hanya berharap supaya kesan yang akan datang tidak seteruk yang telah belaku. Apa yang kita harapkan nanti ialah, apabila selesai jatuhan kepingan domino ini, akan terbentuklah corak yang cantik lagi menarik serta mengasyikkan sehinggakan peristiwa yang perit yang berlaku selama ini dapat kita dilupakan. Insya Allah.

Bahtera Cekak Hanafi

Bahtera kita sudah rosak tetapi masih belum tenggelam. Ribut dan taufan sudah kita tempuhi, apalah sangat hujan yang renyai-renyai yang tinggal….. Datang mentari, teduhlah ia…… Bahtera masih boleh dibaiki, nakhoda boleh datang dan pergi, juak-juak juga boleh bertukar ganti tetapi pelayaran menuju destinasi adalah PASTI…InsyaAllah.

Pak Kaduk – Sepanjang perjalanan menyusuri peristiwa hitam ini, ramai sahabat Pak Kaduk yang jatuh dan rebah. Ramai juga sahabat Pak Kaduk yang menjadi beku seperti air batu. Dalam pada itu, tidak kurang juga ada juga sahabat Pak Kaduk mementingkan diri yang hanya mahu memastikan matlamat diri sendiri tercapai. Sesudah itu, di tinggalkan begitu sahaja…. Inilah manusia pengkianat namanya. Berperangai seperti ular yang mematuk, bukan mahu dimakan, tetapi ditinggalkan….

NOTA: Artikel di atas adalah artikel terakhir yang Pak Kaduk tuliskan untuk tatapan semua pembaca dan sahabat sekelian dalam ruangan ini. Perjalanan Pak Kaduk sudah sampai ke penghujung apabila Guru Utama Silat Cekak Hanafi yang baru telah dilantik. Selama penulisan Pak Kaduk ini, mungkin ramai yang tersinggung dan terasa hati. Pak Kaduk susun jari sepuluh mohon ampun dan maaf atas kesilapan dan ketelanjuran yang berlaku…

Kalau ada sumur diladang,
Bolehlah Pak Kaduk menumpang mandi;
Kalau ada masa dan ruang,
Bolehlah Pak Kaduk menulis lagi.

Selepas ini Pak Kaduk akan meneruskan kerja menyabung ayam yang telah lama Pak Kaduk tinggalkan. Doakan ayam Pak Kaduk menang kali ini….

Salam Hormat

Catat Ulasan