MARWI YANG DIAM

2007/04/13

Encik Marwi Latif telah selamat diisytiharkan sebagai Guru Utama Silat Cekak Hanafi yang baru pada 31 March 2007 yang lalu bersamaan dengan 12 Rabuilawal 1428 Hijrah bersesuaian dengan tarikh kelahiran Nabi Muhammad saw. Dengan pengisytiharan tersebut, maka terjawablah satu teka-teki selama ini yang menjadi persoalan yang sangat penting kepada seluruh pengikut Silat Cekak Hanafi.

Suasana majlis pengistiharan adalah sederhana tetapi meriah dengan semuanya berwajah ceria. Ramai muka-muka lama yang sudah tidak kelihatan sebelum ini yang turut hadir memberi sokongan. Walaupun Pak Kaduk2 tahu bahawa jemputan ke majlis tersebut adalah terhad dan perlukan pengesahan kehadiran dan diberikan pas masuk, namun itu tidak menghalang ahli-ahli yang hadir memberi sokongan.

Pakaian baju melayu biru yang agak lama tidak digunakan, telah disarung kembali. Berguna lagi rupanya baju itu. Ingatkan dah tak boleh pakai lagi, maklumlah atas sebab masalah yang melanda persatuan. Masing-masing dengan penuh semangat dan harapan untuk turut sama bergerak semula dalam perjuangan yang telah diperjuangankan oleh Ustaz Hanafi.

Majlis pengistiharan pada kali ini adalah yang paling besar dan meriah yang pernah diadakan jika dibandingkan dengan majlis pengistiharan sewaktu Ishak Itam dan Md Radzi dilantik menjadi Guru Utama. Jika kedua-dua insan itu diistiharkan dalam majlis kecil di rumah allahyarham Ustaz Hanafi dengan kehadiran ahli yang amat sedikit, boleh dikira dengan jari sahaja, tetapi majlis pengistiharan Guru Utama kali ini lebih besar dan lebih meriah. Mungkin AJK majlis tersebut nak lepas gian sebab lama tak buat majlis. Jadi, bila majlis pengistiharan Guru Utama dirancang, mereka pun lepas gianlah. Pak Kaduk2 dapat tahu persiapan majlis tersebut dbuat dalam masa seminggu sahaja selepas MMK membuat keputusan menerima Guru baru itu. Keseluruhan majlis berjalan lancar dengan majlis pengitiharan oleh setiausaha MMT dan juga majlis menandatangan dokumen perlantikan dan ikrar jawatan oleh GU yang baru turut diadakan.

Syabas diucapkan kepada semua AJK yang telah berjaya melaksanakan tugas dengan baik dan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Marwi Latif yang telah menjadi GU yang baru.

Ramalan-ramalan awal tentang individu tertentu yang menjurus kepada beberapa orang lama ternyata amat meleset dan tidak benar. Ramalan jahat yang mengatakan Tn Hj Amruddin Buang akan mengambil alih kepimpinan baru meleset jauh. Buat sementara, ramai juga yang termangu-mangu dan terkebil-kebil dengan perlantikan tersebut.

Sebelum nama Encik Marwi Latif disebut, Pak Kaduk2 ada mendengar beberapa nama lain lagi yang disebut untuk mengambil alih jawatan tersebut. Nama-nama tersebut adalah nama-nama ahli lama yang kalau disebut, pasti semua orang kenal. Kalau tak silap sekurang-kurangnya ada 5 nama yang disenarai pendekkan untuk dicalon termasuklah nama Encik Marwi Latif. Kesemua mereka ini amat layak untuk menerajui persilatan ini namun banyak yang menolak untuk memegang jawatan tersebut. Ada dua nama terakhir yang disaring lagi dan akhirnya hanya satu nama yang disebut dan selepas itu keputusannya telah kita semua ketahui. Tetapi yang pasti juga ialah tiada satupun nama kaum keluarga Bani Hanafi yang disenarai pendekkan. Kasihan mereka!

Pak Kaduk2 tidak begitu mengenali Encik Marwi ini. Ada le dibaca biodata beliau pada edaran phamplet yang diberikan. Malah sewaktu berjumpa semasa majlis pengistiharan pun tak dapat banyak bercakap dengan beliau. Hanya Pak kaduk2 ucapkan tahniah sahaja. Beliau hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Satu yang Pak kaduk2 terperasan, rupanya GU ni seorang yang pendiam dan tidak banyak cakap. Suara beliau juga agak pelahan tetapi tegas bila bercakap. Tetapi masih bersemangat tinggi walaupun usia beliau sekarang sekitar 61 tahun. Mungkin kerana ramai yang hadir memberi sokongan menjadikan beliau amat bersemangat. Syabas diucapkan. Semoga diberkati Allah hendaknya. Pak Kaduk2 juga tumpang gembira apabila melihat semua orang gembira.

Pak Kaduk2 berpendapat GU yang baru selepas ini mungkin perlu berubah dari Marwi Yang Diam kepada Marwi Yang Petah Berbicara. Maklumlah , dah ramai anak murid nanti, kena le banyak bercakap. Walaubagaimanapun, pada pandangan Pak kaduk2, Gu yang baru ni tak perlu lah terikut-ikut cara orang lain. Buatlah cara sendiri dan tampilkanlah peribadi seperti seadanya, kerana itu lebih disenangi dari cuba meniru cara orang lain. Sejarah telah membuktikan, jika kita cuba meniru cara orang lain, lama kelamaan akan memakan diri. Sepertilah juga GU sebelum ini yang cuba meniru cara Ustaz Hanafi, bila dah lama meniru, terperasan pula macam Ustaz Hanafi, kemudian buat benda-benda yang tak sepatutnya dibuat, akhirnya sendiri yang tertiarap.

Pak Kaduk2 – turut sama bersemangat

Catat Ulasan