LAIN DAHULU LAIN SEKARANG...

2007/05/08

Apa yang lain?

Macam-macam yang berlainan sekarang ni! Dulu mantan GU katanya Ok, tengok-tengok sebenarnya kaki cabul dan jilat. Dulu katanya Mak Teh Ok, tengok-tengok kaki mencarut dan kaki maki orang. Dulunya ahli persatuan saling hormat-menghormati, tetapi sekarang saling umpat-mengumpati. Dulunya Ustaz Hanafi disanjung, sekarang tidak lagi kerana Ustaz Hanafi sudah tiada dan yang disanjung adalah mantan GU yang kaki cabul dan jilat.

Jadinya, banyaklah perkara yang berubah dan berlainan jika dibanding dahulu dan sekarang. Mari kita buat sedikit kajian tentang satu perkara yang elok dibuat analisa untuk pengetahuan bersama. Mari kita lihat isu berkaitan Mandat Perguruan….

Mandat melantik Guru

Pertama sekali kita kena tahu apa itu mandat? Ramai yang keliru dengan perkataan mandat ini. Macam satu keajaiban pula cara kita bercerita tentang mandat ini. Mandat itu sebenarnya bermaksud HAK atau KUASA. Persoalannya yang ingin diutarakan di sini adalah siapakah yang BERHAK atau BERKUASA untuk melantik guru di dalam persatuan kita?

a- zaman sebelum ada persatuan silat:
– Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri kedah (PSSBSK) : 1965 – 1970
– Persatuan Bawean Putra Sepak Raga Jaring : Januari – Ogos 1971

Kalau dahulu, sebelum ada persatuan, kuasa melantik guru adalah terletak di tangan guru semasa. Tidak ada orang lain lagi yang boleh melantik guru selain guru yang ada pada waktu tersebut. Sebab utama proses perlantikan guru berlaku seperti itu adalah kerana tidak ada satu komiti atau jawatankuasa atau satu badan yang dibentuk untuk mengambil tugas itu. Guru pada waktu tersebut adalah berkuasa penuh. Semua keputusan adalah terletak di tangan beliau seorang. Tidak ada orang yang boleh membantah atau mempersoalkan apa-apa keputusan yang dibuat oleh guru. Maka itu, perlantikan guru selepas itu adalah atas kuasa mutlak guru. Itulah mandatnya, itulah KUASANYA ataupun itulah HAKNYA sebagai guru pada waktu itu. Ini berlaku kerana tiada jawatankuasa atau persatuan atau badan rasmi yang melihat hal-hal berkaitan perguruan ini. Tidak timbul juga cerita Allah Ta’ala yang melantik seseorang itu menjadi guru. Hanya dirinya sendiri yang melantik dan berkuasa untuk mengajar.

Namun, dikala Silat Cekak hendak digerakkan di bawah PSSBSK, Al-Marhum Ustaz Hanafi sendiri telah melantik Encik Yahya Said untuk menjadi guru melalui surat beliau bertarikh 1 Januari 1966 agar Encik Yahaya Said dibenar mengajar silat di bawah seksi silat PSSBSK di mana Al-Marhum Ustaz Hanafi menjadi Pengerusi seksi tersebut. (surat tersebut telah disiarkan sebelum ini). Itu merupakan bukti dan dokumen rasmi di mana Encik Yahaya Said dilantik menjadi guru..

Persoalan timbul selepas zaman Encik Yahaya Said. Kita semua tahu bahawa selepas Encik Yahaya Said, Al-Marhum Ustaz Hanafi yang menjadi guru. Tetapi timbul pula persoalan iaitu siapa yang melantik Ustaz Hanafi menjadi guru? Ramai yang mengatakan bahawa Encik Yahaya Said menyerahkan atau melantik Al-Marhum Ustaz Hanafi menjadi guru. Tetapi sehingga hari ini, tidak ada dokumen rasmi (setakat pengetahuan PK2) yang dapat membuktikan bahawa Encik Yahaya Said telah melantik Al-Marhum Ustaz Hanafi sebagai guru. Apa yang kita dengar hanya melalui percakapan dan melalui bacaan hanyalah kata-kata kononnya Encik Yahaya Said sebagai pemegang amanah dan telah menyerahkannya kepada Al-Marhum Ustaz Hanafi. Selain dari itu, tidak ada dokumen rasmi lain yang boleh dijadikan bukti!

Satu-satunya dokumen rasmi yang kita ada ialah perlantikan Al-Marhum Ustaz Hanafi menjadi Jurulatih Silat oleh Persatuan Bawean Putra untuk mengajar silat kepada ahli persatuan berkenaan melalui surat persatuan tersebut bertarikh 29 Januari 1971. Dokumen tersebut adalah dokumen rasmi pertama yang menyatakan perlantikan dan kebenaran mengajar silat. Selain dari dokumen tersebut, tidak ada dokumen lain yang pernah PK2 lihat.Jadi, walaupun di zaman tiada persatuan rasmi, telah wujud proses bahawa apa-apa perlantikan sebagai guru perlu juga melalui perlantikan rasmi seperti mana yang berlaku kepada Encik Yahaya Said dan ustaz Hanafi.

b- zaman Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM)

-Persatuan Seni Silat Chekak Kedah, Malaysia : Ogos 1971
– April 1975 -Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia: April 1975 – 19 Mei 1993

Selepas persatuan Bawean Putra, Persatuan Seni Silat Chekak Kedah Malaysia ditubuhkan dan kemudiannya ditukar nama kepada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. PK2 mengandaikan bahawa perlembagaan keduan-dua persatuan ini adalah sama walaupun namanya telah bertukar. PK2 tidak mendapat maklum ada atau tidak dokumen perlantikan rasmi Al-Marhum Ustaz Hanafi menjadi guru kepada kedua-dua persatuan ini. PK2 tidak tahu sebenarnya. Kalau sesiapa yang ada dokumen perlantikan tersebut , boleh dikongsi bersama. Tetapi hati PK2 berat mengatakan dokumen itu tidak ada.

Di dalam perlembagaan PSSCM, tidak ada peraturan yang menyebut tentang perlantikan dan penyistiharan guru. Ini bermakna proses perlantikan guru itu tidak diperlembagakan. Yang ada menyebut tentang guru pun hanya sedikit sahaja iaitu pada PERATURAN 21 perlembagaan yang menyebut tentang LPT (sila rujuk perlembagaan Silat Cekak Malaysia).

Al-Marhum Ustaz Hanafi menjadi guru silat sehingga beliau meninggal dunia pada 13 Ogos 1986 iaitu selepas 15 tahun Persatuan Seni Silat Chekak Kedah ditubuhkan.

Selepas Ustaz Hanafi meninggal dunia, jawatan guru menjadi kosong. Ramai pemimpin pada waktu itu terpingga-pingga untuk mencari siapa yang akan mengganti. Bagi mengatasi masalah dan kekusutan yang melanda pada waktu itu, ahli lama dan anak murid Ustaz Hanafi yang setia telah bermesyuarat dan sepakat untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu guru pengganti. Kumpulan permuafakatan itu terdiri daripada kalangan ahli lama dan ahli keluarga Ustaz Hanafi. Permuafakatan itu kemudiannya dinamakan sebagai Majlis Permuafakatan Tertinggi Silat Cekak. Namun harus diingat, majlis ini dibentuk secara ad-hoc dan tidak rasmi. Malah di dalam perlembagaan Silat Cekak Malaysia , tidak ada peraturan yang menyentuh atau menghuraikan tentang majlis muafakat ini. Oleh itu , sebenarnya di bawah perlembagaan Silat Cekak Malaysia, tidak ada satu badan rasmi yang sah boleh melantik guru. Sebenarnya Majlis Permuafakatan ini tidak mempunyai kuasa untuk melantik guru dan atas sebab itu sepatutnya majlis ini tidak diiktiraf kewujudannya. Namun oleh kerana semua pihak bersetuju dan memperakui keputusan yang dibuat oleh Majlis itu, maka dengan sendirinya Majlis Permuafakatan ini menjadi satu badan yang diiktiraf oleh Persatuan Silat Cekak Malaysia dan melaksanakan fungsinya.

Dalam masa 40 hari selepas Ustaz Hanafi meninggal dunia, Ishak Itam telah membuat tuntutan kononnya Ustaz Hanafi ada menyerahkan mandat perguruan kepada beliau. Ini juga banyak menimbulkan persoalan. Tidak ada bukti hitam putih yang mengatakan beliau menerima perlantikan sebagai guru. Hatta Ustaz Hanafi tidak pernah menamakan sesiapapun sebagai pengganti beliau.

Oleh kerana hanya Ishak Itam sahaja yang membuat tuntutan pada waktu tersebut dan Majlis Permuafakatan ini bersetuju untuk melantik dan mengistiharkan Encik Ishak Itam, maka itu Ishak Itam pun menjadi guru utama silat cekak. Majlis ikrar dan angkat sumpah jawatan telah diadakan di rumah Al-Marhum Ustaz Hanafi pada hujung bulan September 1986. Setahu PK2, Ishak Itam tidak pernah menandatangi sebarang dokumen menerima jawatan atau ikrar terima jawatan atau bersedia mematuhi sebarang keputusan Majlis Permuafakatan mengenai apa-apa isu. Oleh itu PK2 berpandangan Ishak Itam selamat atau bebas dari sebarang peraturan atau keputusan yang dibuat oleh Majlis Permuafakatan. Beliau tidak terikat!

Oleh itu, apabila berlaku kekecohan mengenai isu pembawaan yang menyeleweng aqidah oleh Ishak Itam, dan Majlis Permuafakatan kemudiannya membuat keputusan menggugurkan Ishak Itam sebagai guru, beliau sebenarnya tidak terikat dengan keputusan tersebut. Ishak Itam berhak untuk tidak mematuhi keputusan tersebut. Beliau tidak terikat dengan sebarang sumpah malah kewujudan atau kesahihan Majlis Permufakatan ini tidak ada dalam peraturan perlembagaan Silat Cekak Malaysia. Sebab itu beliau masih meneruskan tugas sebagai Guru Utama walaupun majlis permuafakatan telah menggugurkan beliau. Harus juga diingat bahawa Ishak Itam juga pada waktu itu masih memegang jawatan Presiden persatuan yang sah dan majoriti jawatankuasa pusat menyokong beliau. Sekali lagi beliau selamat dan dengan itu juga beliau terus menjalankan tugas sebagai Presiden dan Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia sehinggalah sekarang!

c- zaman Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (SCH)

- Silat Cekak Hanafi : Ogos 1994 – Sekarang

Selepas Ishak Itam digugurkan, Majlis Permuafakatan Tertinggi Silat Cekak telah menlantik dan mengistiharkan Encik Md Radzi menjadi guru. Majlis ikrar dan angkat sumpah jawatan telah diadakan di rumah Al-Marhum Ustaz Hanafi . Di majlis yang sama, Encik Md Radzi telah menandatangani dokumen penerimaan jawatan dengan Md Nasir Md Arshad dan Che Yusof Che Mat menjadi saksi yang turut menurunkan tandatangan masing-masing di atas dokumen tersebut.

Ramai yang ingin mengetahui apakah isi kandungan dokumen yang telah ditandatangani oleh Encik Md Radzi itu. Antara lain, beliau telah telah bersumpah dengan nama allah untuk bersetuju dan mematuhi tiga perkara berikut:

1- Meneruskan usaha mengajar dan mengembangkan Silat Cekak seperti mana yang dipelopori oleh Ustaz Hanafi Hj Ahmad
2- MENERIMA DAN MEMATUHI SEMUA KEPUTUSAN YANG DIBUAT OLEH MAJLIS MUAFAKAT TERTINGGI.
3- Meneruskan pengwujudan Tabung Amanah dan modus operandinya

Apabila En Md Radzi menandatangani dokumen tersebut, maka dengan sendirinya beliau telahpun menyerahkan MANDAT atau HAK atau KUASA kepada Majlis Muafakat Tertinggi. Kenapa PK2 mengatakan begitu? Kerana , kalau kita baca perkara no. 2 dia atas, itu membuktikan Encik Md Radzi menerima dan bersetuju untuk mematuhi apa-apa keputusan yang dibuat oleh MMT!.

PK2 masih teringat pada waktu tersebut, kumpulan yang menyokong Ishak Itam telah melebelkan Encik Md Radzi sebagai guru kontrak kerana terpaksa menandatangani dokumen tersebut. Tetapi pada masa tersebut Md Radzi tidak perduli. Yang penting beliau menjadi guru. Beliau tidak terfikir bahawa dokumen yang beliau tandatangan itulah yang akhirnya menjatuhkan beliau.

Apa significant nya tentang dokumen tersebut? Apa kesan nya? Kesannya adalah amat BESAR! MD RADZI TELAH MENYERAHKAN MANDAT/HAK/KUASA KEPADA MMT! Mungkin ramai yang tidak tahu tentang perkara ini, tetapi ITULAH HAKIKATNYA! Oleh yang demikian, sekarang, mandat perlantikan guru adalah terletak ditangan MMT yang telah diberi kuasa oleh mantan guru melalui dokumen yang ditandatangani oleh mantan guru itu.

Sebab itu, apabila MMT yang bersidang pada 18 March 2007 membuat keputusan menggugurkan Md Radzi dari jawatan Guru Utama dan melantik Encik Marwi Latif sebagai ganti, sebenarnya Md Radzi telah hilang kelayakan sebagai guru. Dengan itu juga Encik Marwi Latif telah menerima mandat untuk menjadi Guru! Mandat itu sebenarnya telah berada di tangan MMT disaat Md Radzi menandatangni dokumen menerima jawatan sejak tahun 1993 lagi! Mungkin dia tidak sedar atau pun sudah tidak ingat…

Dan yang menjadikan Md Radzi lebih sengsara ialah peraturan berkaitan MMT ini telah diperlembagakan di dalam perlembagaan Silat Cekak Hanafi. Jika di zaman Ishak Itam, perkara mengenai MMT tidak tercatit di dalam perlembagaan, tetapi di dalam perlembagaan Silat Cekak Hanafi, peraturan mengenai MMT ini ada catit dengan jelas tentang fungsinya pada PERATURAN 21! Md Radzi tidak boleh berdolak-dalih lagi! Beliau telah hilang jawatan guru atas kuasa yang beliau sendiri serahkan kepada MMT!

Kesimpulan

Jika diawal perkembangan silat ini, kuasa melantik guru adalah terletak kepada guru semasa atau individu yang menjawat jawatan guru, tetapi dengan peralihan masa dan perubahan struktur organisasi serta tuntutan semasa, kuasa untuk melantik guru telah diangkat menjadi lebih besar dan dipindahkan kepada badan rasmi yang diiktiraf oleh persatuan. Oleh itu kalau Md Radzi masih mengatakan beliau masih berkuasa dalam hal perlantikan guru, beliau ini sebenarnya masih bermimpi dan mengelamun seorang diri. Silat ini bukan lagi silat kampung yang begerak secara berseorangan dan diberi kuasa kepada individu tertentu, tetapi silat ini adalah silat yang berkembang diperingkat nasional, yang berkembang sebagai satu pergerakan. Pergerakan itu melibatkan bilangan ahli yang ramai dan bergerak dengan tatacara dan peraturan-peraturan yang tertentu yang diperlembagakan! Dan kuasanya bukan terletak ditangan individu tetapi di tangan orang ramai!

PK2 – amacam mantan guru? Ingat lagi dokumen yang ditandatangan pada tahun 1993?

Catat Ulasan