Luncai - Apa Seterusnya?
2009/11/12
Artikal dibawah PK ambil dari web Cekakhanafi.com Sesuai untuk bacaan umum
____________________________________________________________
Salam
Selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan MENOLAK DENGAN KOS terhadap saman pemula Mantan Presiden/Guru Utama (MP) untuk mendapatkan semula jawatan yang digugurkan oleh MMT dan MMK, maka dengan sekelip mata harapan MP untuk kembali berkuasa hancur berkecai umpama gelas terhempas di lantai. Sekelumit harapan yang disandarkan selama ini rupanya hanya ilusi yang tidak kesampaian. Sisa-sisa alasan dan helah yang diwar-warkan kepada para pengikut sebelum ini nampaknya tidak lagi boleh menjadi sandaran. Apa lagi agaknya alasan yang mahu disorongkan kepada para pengikut bagi memastikan sokongan mereka tidak berbelah bahagi dan masih berterusan?
Kalau sebelum ini alasan yang berikan oleh pihak MP ialah beliau tidak mendapat keadilan atau tidak ada 'Natural Justice' dan dengan itu menolak bulat-bulat keputusanJawatankuasa Siasatan Dalaman dan Jawatankuasa Kehakiman yang dibentuk MMK, tetapi setelah pihak mahkamah memberikan keputusan tersebut, rasanya tidak ada alasan lagi yang boleh diketengahkan. Alasan tiada 'Natural Justice' yang dikemukan itu tidak diterima pakai oleh mahkamah kerana ianya tidak relevan dalam kes MP ini. Tambahan pula beliau telah dengan sukarela menghantar surat bercuti dari jawatan Presiden (tidak ada juga pihak yang memaksa beliau untuk meletakkan jawatan atau bercuti dari jawatan yang beliau sandang pada ketika itu) dan juga beliau dengan sukarela hadir memberi keterangan kepada Jawatankuasa Siasatan Dalaman ketika dipanggil memberi keterangan. Ini bermakna beliau telah secara sedar tahu akan tindakan beliau itu dan akur bahawa Jawatankuasa Siasatan Dalaman mempunyai bidang kuasa untuk memanggil dan mendapatkan keterangan dari beliau. Ini juga bermakna beliau mengiktiraf kewujudan jawatankuasa tersebut.
Lain ceritanya kalau beliau tidak hadir semasa dipanggil memberikan keterangan kerana ini akan membuatkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman sukar untuk membuat keputusan. Yang menjadi ironinya, berdasar keterangan dan pengakuan beliau jugalah yang menyebabkan jawatankuasa tersebut memutuskan 'ada kes yang kuat bahawa perbuatan mencabul itu berlaku' dan kemudiannya berdasarkan kesimpulan tersebut, Jawatankuasa Penghakiman membuat keputusan bahawa beliau bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh itu dan seterusnya MMK menjatuhkan hukuman menggantung keahlian beliau dan kemudianya dipecat dari persatuan. Ini adalah fakta yang mungkin diambil kira oleh mahkamah untuk menolak alasan mereka yang mengatakan tiada 'Natural Justice'. Pada pandangan kita, sebenarnya lebih dari 'keadilan asasi' telah diberikan kepada beliau. Beliau telah dipanggil memberi keterangan dan membela diri. Beliau sendiri telah menghantar surat untuk bercuti dari jawatan Presiden tanpa dipaksa. Mungkintindakan beliau mengambil tindakan bercuti itu 'hanya' untuk menunjukkan sikap 'gentlemen' yang kononnya tidak mahu menganggu proses siasatan. Tetapi itu bukan alasan kukuh. Oleh itu isu 'tidak ada keadilan' yang dilaungkan oleh pihak MP adalah tidak tepat dan amat mengelirukan. Jika dikatakan 'keadilan', rasanya kita patut juga mengambil kira 'keadilan ' dipihak mangsa. Apakah mangsa tidak perlukan 'keadilan asasi'?
Selepas lebih 3 tahun, kes salah laku MP masih lagi hangat diperkatakan. Jika sebelum ini perbicangan dan tindakan adalah dalam skop persatuan, tetapi sekarang ini ianya telah 'berkembang' dan 'dinaikkan taraf' apabila dibincang atau dibicarakan di peringkat perundangan negara. Jika sebelum ini siasatan yang dilakukan oleh pihak persatuan tidak mahu diterima pakai, bagaimana pula sekarang ini apabila keputusan dibuat oleh mahkamah iaitu satu badan perundangan negara? MASIH MAHU MEMPERTIKAIKANNYA LAGI? Mungkin pula selepas ini hakim pula dituduh tidak betul? Apakah dalam dunia ini tidak ada orang lain yang betul selain dari MP dan kaum keturunannya? Tidak mungkin!
Saya ada diberikan satu salinan pengumuman dibuat oleh 'SUA' di pihak mantan yang turut mengakui bahawa Mantan Guru kalah di mahkamah. Agak janggal juga bila pengakuan ini dibuat. Mengikut rekod kita, selalunya pihak MP tidak akan mengaku! Namun begitu, walaupun mengaku kalah dalam kes tersebut tetapi mereka mengatakan bahawa kes saman tersebut adalah KES PERIBADI MP dan tidak ada kena mengena dengan ’persatuan mereka’ dan juga ‘MMK’ yang dibentuk oleh MP. Mereka juga dengan bangga mengatakan ‘MMK’ mereka masih 'sah' dan terus 'menerajui' persatuan kononnya. Saya agak terkedu membaca pengumuman tersebut kerana agak ketara 'tahap kedangkalan' yang di paparkan. Saya katakan begitu kerana:
1- Apabila MP kalah dalam permohonan untuk mendapatkan jawatan beliau, maka beliau sudah tidak ada kuasa sebagai Presiden.
2- Ini juga mengesahkan bahawa pengguguran dan pemecatan beliau dari jawatan Guru Utama serta keahlian adalah sah di sisi undang-undang dengan pengesahan dari pihak mahkamah.
3- Sebelum ini kita dimaklumkan sebelum ini bahawa Mesyuarat Agong Luarbiasa yang kononnya diadakan pada bulan Mac 2009 yang lalu oleh pihak MP atas arahan atau dipanggil oleh MP. Jika mahkamah telah mengatakan beliau bukan Presiden lagi dan tidak ada kuasa sebagai Presiden, maka apakah logiknya EGM itu sah? Sejak dahulu lagi kita telah katakan mesyuarat mereka ini tidak sah dan hanya sandiwara mainan mereka untuk mengelirukan ahli dan juga Jabatan Pendaftar Pertubuhan.
4- Jika MP tidak sah dan EGM yang dipanggil juga tidak ada kesahihannya maka apakah rasionalnya 'MMK' yang mereka pilih sewaktu EGM itu dikira sebagai sah? Sendiri boleh fikir!
5- Kesimpulannya, MP sudah tiada kuasa, EGM yang dipanggil TIDAK SAH dan seterusnya MMK yang dipilih dan dibentuk oleh MP adalah TIDAK SAH! Ini samalah dengan analogi seekor monyet yang bergayut di dahan pokok yang tinggi, namun apabila pokok itu telah ditebang dan jatuh ke tanah, masihkan kita mahu katakan monyet tersebut masih bergayut di atas pokok? Sendiri mau fikir!
Jadi, jika 'SUA' pihak MP sekarang ini masih mempertahankan bahawa mereka MMK yang sah dan kes MP yang kalah di mahkamah adalah kes peribadi, maka itu merupakan satu lagi usaha terdesak dan satu lagi episod untuk menipu ahli dan orang ramai! Yang nyata, kita kasihankan pula kepada MP. Kalau sebelum ini para pengikut berikrar bermatian-matian untuk bersama-sama beliau, namun setelah kalah kes mahkamah baru-baru ini, dikatakan pula kes itu kes PERIBADI beliau dan tidak ada kena-mengena dengan 'persatuan' mereka.
Persoalannya, adakah tindakan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai KES PERIBADI merupakan tanda-tanda awal bahawa MP mula mahu disingkirkan secara terhormat? Apakah sudah ada individu yang sudah mahu mengambil alih tampuk kepimpinan? Atau apakah MP sudah mahu mengangkat bendera putih dan telah boleh menjangka apa akan berlaku seterusnya kepada beliau? Hanya mereka dan keluarga mereka yang boleh menjawabnya…
Itu belum lagi selesai perbicaraan kes jenayah MP yang masih berjalan sekarang ini. Selepas ini, tak tau apa pula nasib yang akan menimpa MP. Harap-harap MP masih ada kekuatan untuk menghadapi semua ini.
Persoalannya, apa tindakan kita seterusnya? Kalau kalau dalam kes MCA kedua-dua ‘pelakon utama’ boleh bersetuju mewujudkan pelan damai, bagaimana SCH?
Salam perjuangan
NUR LUNCAI
_____________________________________________________
Fikir fikirkanlah sahabat segerak seudara sekelian..